MOHAMMAD Shah Soep dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu. FOTO Ersie Anjumin.
MOHAMMAD Shah Soep dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu. FOTO Ersie Anjumin.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Seorang pengarah syarikat dihukum penjara 15 tahun dan sembilan sebatan atas tujuh kesalahan menipu membabitkan projek bernilai jutaan ringgit di Sabah, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohammad Shah Soep, 41, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan ke atasnya ketika dihadapkan di dua Mahkamah Majistret berasingan, di sini, hari ini.

Dia didakwa menipu enam kontraktor untuk menyerahkan wang berjumlah RM600,000 yang dikatakan sebagai bayaran untuk mendapatkan projek, antara 25 Februari dan 4 November 2020 di beberapa hotel dan sebuah rumah, di sini.

Wang hasil penipuan itu diserahkan kepada tertuduh sama ada melalui cek atau secara pindahan bank.

Projek yang dikatakan ditawarkan tertuduh kepada kontraktor terbabit ialah kerja mengganti lampu jalan di seluruh Sabah dan kerja pembersihan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Bagi pertuduhan pertama hingga keenam, Majistret Jessica Ombou Kakayun memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan yang dilaksanakan secara berturutan.

Untuk pertuduhan ketujuh, tertuduh dihukum penjara tiga tahun dan tiga sebatan selepas mengaku bersalah di hadapan Penolong Pendaftar Kanan Abdurrahman Abrar Jarni yang bertindak sebagai Majistret.

Tertuduh turut didenda RM3,000 atau penjara enam bulan jika gagal membuat bayaran dan diperintah menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditahan pada 7 Januari tahun ini.

Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh antara lain menawarkan projek kepada mangsa dan meminta mereka membayar sejumlah wang bagi mendapatkan projek terbabit.

Bagaimanapun, selepas berbulan menunggu, mangsa akhirnya sedar yang mereka ditipu apabila gagal menghubungi tertuduh sebelum membuat laporan polis yang kemudiannya membawa kepada penahanan tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Inspektor Albert Basiri dan Inspektor Kumar Vijayan, masing-masing di hadapan Jessica dan Abdurrahman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 8:16 PM