KHAIRY (depan, empat kiri) diiringi Dr Sha'ari (depan, dua kanan) dan Dr Lee (depan, dua kiri) dan Mohd Shafiq (depan, tiga kiri) merasmikan kabin H2H pada majlis pelancaran MENGAKHIRI AIDS. FOTO Saifullizan Tamadi
KHAIRY (depan, empat kiri) diiringi Dr Sha'ari (depan, dua kanan) dan Dr Lee (depan, dua kiri) dan Mohd Shafiq (depan, tiga kiri) merasmikan kabin H2H pada majlis pelancaran MENGAKHIRI AIDS. FOTO Saifullizan Tamadi
Ruwaida Md Zain


Klang: Tiada bukti jelas menunjukkan seseorang itu perlu dijangkiti Covid-19 varian Omicron untuk membina imuniti kepada wabak berkenaan.

Justeru, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengingatkan masyarakat agar tidak mendedahkan diri dengan Covid-19 varian Omicron walaupun kesan jangkitan lebih sederhana berbanding Delta.

"Tidak kira varian apa... Omicron ke, Delta, Alpha dan Beta, jangan sengaja nak dapat Covid-19 sebab yang pertama, kita tidak tahu kesan wabak itu sama ada mereka sudah divaksinkan atau tidak.

"Kita tidak tahu kesan jangka panjang Covid-19 kepada mereka yang pernah dijangkiti. Hari ini mungkin kita kata Omicron ini lebih 'mild' (sederhana) daripada Delta jadi 'why not semua' (kenapa tidak semua) dijangkiti dengan Omnicron. Kita dapat imuniti kelompok dan sebagainya. Itu tidak terbukti lagi. Kita tahu Omicron 'milder' tetapi tidak bermakna kita perlu dijangkitinya.

"(Pendekatan) tidak terbukti lagi (kesahihannya)... tetapi nasihat KKM, masyarakat tetap perlu mendapatkan dos penggalak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika diminta mengulas laporan mendakwa varian Omicron mampu meningkatkan imuniti kelompok dalam masyarakat disebabkan keadaan transmisinya yang tinggi oleh pakar virologi dari Afrika Selatan.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Mengakhiri AIDS Melalui Kerjasama Pintar GO-NGO Model KK 2.0 Peringkat Kebangsaan di Klinik Kesihatan Pandamaran, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Dalam pada itu, katanya, 99 peratus daripada mereka yang dijangkiti Omicron di negara ini adalah pada kategori 1 dan 2.

Ketika ditanya mengenai statistik harian jangkitan Covid-19, beliau meminta agar semua pihak tidak dinilai kadar peningkatan berdasarkan statistik harian semata-mata.

"Selama beberapa minggu ini, pergerakan (masyarakat) meningkat disebabkan cuti persekolahan (dan) juga perayaan seperti Krismas, sambutan tahun baru, Thaipussam kemudian Tahun Baru Cina (tidak lama lagi).

"KKM menjangkakan akan berlaku peningkatan kes harian pada bulan ini dan Februari tetapi selagi kemasukan ke hospital, unit rawatan rapi (ICU) berada dalam paras terkawal dan kadar kematian masih lagi menurun, kita masih lagi keadaan terkawal," katanya.

Katanya, keadaan di Selangor juga masih terkawal walaupun setiap hari merekodkan jumlah kes tertinggi.

"Antara sebab (kes tinggi di Selangor) adalah kemasukan pintu antarabangsa terletak di negeri itu mana (pengembara) berdaftar di negeri ini walaupun bukan orang Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 2:35 PM