GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Varian Omicron mudah berjangkit namun individu dijangkiti hanya mengalami simptom ringan dan akan menghasilkan imuniti sendiri.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam merangkap Pengerusi Pasukan Sukarelawan Komuniti (Penglibatan dan Pemerkasaan) Melawan Covid-19 (VCEE19), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, campuran imuniti semula jadi dan vaksin diterima juga amat baik kerana akan meningkatkan imuniti dalam kalangan masyarakat.

Justeru, Dr Zainal berkata, pengambilan vaksin amat penting dalam usaha melawan Covid-19 biarpun tiada jaminan untuk sesiapa terhindar daripada dijangkiti wabak berkenaan.

"Apabila dijangkiti (Covid-19) maka badan akan membentuk imuniti semula jadi atau kekebalan sendiri.

"Varian Omicron misalnya memang mudah berjangkit namun simptomnya ringan dan ada kemungkinan ia (Omicron) yang terakhir.

"Lama kelamaan wabak ini akan menjadi seperti penyakit biasa yang lain," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bagaimanapun, Dr Zainal berharap masyarakat tidak mengambil mudah dan terus mengambil vaksin jika belum dan dos penggalak seandainya sudah mendapat tarikh janji temu.

"Terus amalkan dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana itu yang paling mustahak dalam mengelak jangkitan mengambil vaksin serta dos penggalak. Penting untuk berjaga-jaga namun jangan pula terlalu paranoid," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 4:08 PM