BERNAMA

Georgetown: Pulau Pinang tidak menghadapi masalah bekalan dos penggalak seperti berlaku ketika suntikan dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 sebelum ini, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Justeru, Chow menyeru agar penduduk di negeri itu untuk mendapatkan suntikan dos penggalak kerana kajian perubatan pada peringkat ini mendapati vaksin masih pelindung berkesan jika dijangkiti Covid-19.

"Saya seru kepada penduduk Pulau Pinang agar sentiasa memberi perhatian kepada MySejahtera bagi melihat sama ada telah menerima janji temu untuk mendapatkan suntikan dos penggalak dan seterusnya hadir pada masa serta hari yang ditetapkan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan watikah pelantikan kepada Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang bagi 2022 di sini, hari ini.

Chow berkata, selain suntikan di lokasi yang disediakan, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) juga menawarkan suntikan dos penggalak menerusi program outreach iaitu dengan pergi ke rumah penduduk melibatkan mereka yang sakit.

Sementara itu, menurutnya, semua 10 pesakit Covid-19 varian Omicron di Pulau Pinang yang menerima rawatan di hospital telah dibenarkan keluar wad dan setakat ini tiada penularan tempatan dilaporkan.

"Pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang - Pengurusan Pandemik Covid-19 bersama semua agensi, saya minta semua pihak untuk bersedia dan memobilisasi segala kemudahan dalam menghadapi peningkatan laporan kes khususnya membabitkan varian Omicron," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 3:24 PM