Gambar hiasan
Gambar hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menyiasat kes sindiket penipuan pembelian makanan bagi sambutan Tahun Baharu Cina secara dalam talian membabitkan kerugian RM51,400 susulan empat laporan polis diterima Ahad lalu hingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak, berkata, siasatan awal mendapati mangsa berurusan dengan sindiket yang memberi pautan laman sesawang untuk pembayaran wang pendahuluan menerusi WhatsApp.

Menurutnya, mangsa mendaftar dan mengisi maklumat perbankan mengikut arahan sindiket.

"Mereka menyedari ditipu apabila terdapat beberapa transaksi pindahan wang dari akaun bank mangsa ke akaun suspek.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mahidisham turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan setiap iklan bagi mengelak menjadi mangsa sindiket penipuan pembelian dalam talian.

"Mereka juga disarankan tidak mendedahkan maklumat perbankan serta kod keselamatan OTP dan TAC (laluan guna sekali serta kod verifikasi) kepada pihak ketiga untuk mengelak akaun perbankan terdedah kepada penggunaan tidak sah.

"Sebarang jenayah atau aktiviti mencurigakan, orang awam boleh menghubungi Hotline Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, CCID Scam Response Centre (Pusat Respon Penipuan JSJK) (03-2610 1559/1599) atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 6:14 PM