Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Bangkai seekor buaya sepanjang hampir dua meter ditemui orang awam di Pantai Cermin, di sini, hari ini.

Pengunjung, Nur Fazilah Md Ali, 35, berkata, dia terkejut kerana menyangka buaya itu masih hidup.

"Ketika itu saya bersama keluarga berjalan di pantai, kami terkejut melihat seekor buaya besar seperti berehat.

"Tidak mahu sesuatu bahaya berlaku, saya mengarahkan anak-anak yang berusia lima hingga 11 tahun menjauhkan diri," katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, penduduk, Mohd Adli Aziz, 42, berkata, dia tidak menyangka ada buaya di kawasan itu kerana sering mencari ketam dan menjala ikan di situ.

"Memang saya ada dengar buaya di pantai Port Dickson tetapi saya tidak pernah jumpa hinggalah saya dimaklumkan penemuan bangkai ini," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Nurul Ermi Ramli berkata, buaya tembaga yang mati itu seberat 100 kilogram dengan panjang lebih dua meter.

BANGKAI buaya tembaga yang ditemui di Pantai Cermin. FOTO Mohd Khidir Zakaria
BANGKAI buaya tembaga yang ditemui di Pantai Cermin. FOTO Mohd Khidir Zakaria

"Kami menerima maklumat daripada Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan SWM Port Dickson mengenai penemuan bangkai itu.

"Buaya itu dipercayai mati antara sehari atau dua hari lalu dan bangkai dibawa ke pejabat Perhilitan di Seremban untuk proses bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian," katanya ketika dihubungi tadi.

Katanya, pihaknya menghantar pasukan Perhilitan Seremban ke lokasi dengan dibantu pejabat Pusat Pendidikan Biodiversiti (PPBD) Tanjung Tuan, Melaka untuk menjalankan siasatan lanjut.

Menurutnya, setakat ini pihaknya tidak pernah menerima aduan daripada nelayan mengenai kemunculan buaya di Pantai Cermin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 2:09 PM