KOLONEL (B) Omar Mohammad, 80, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja`afar Seremban malam tadi. FOTO Mohd Amin Jalil
KOLONEL (B) Omar Mohammad, 80, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja`afar Seremban malam tadi. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Kami kehilangan insan banyak berkorban kepada keluarga dan sukar dicari ganti," kata Nur Alina Omar.

Nur Alina, 55, adalah anak sulung kepada bekas Pengerusi Pengadil Ragbi Malaysia, Kolonel (B) Omar Mohammad, 80, yang meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini, pada 10 malam tadi.

Menurutnya, kesihatan arwah bapanya mula merosot sejak tiga tahun lalu apabila dia mula menghidap penyakit angin pasang, namun dia tiada menghidap penyakit kritikal lain.

"Kali terakhir kami menemui arwah bapa dua minggu lalu di Sendayan dan ketika itu bapa kelihatan sihat, namun ingatannya tidak berapa baik.

"Bapa seorang yang baik dan bertanggungjawab sejak membesarkan kami dari kecil. Kami kehilangan insan banyak berkorban kepada keluarga," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pelegong Labu, di sini, hari ini.

Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di tanah perkuburan itu pada 3 petang dengan dihadiri kira-kira 40 ahli keluarga terdekat.

Turut membantu menguruskan pengebumian jenazah ialah 11 orang pegawai dan anggota pasukan Rejimen 31 Artileri Diraja Kem Tun Ibrahim, Kajang, Selangor.

Nur Alina berkata, arwah bapanya seorang yang aktif dalam sukan ragbi di bawah naungan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) terutama dalam bidang pengadilan, namun ketika umurnya menghampiri 70 tahun, dia tidak lagi aktif.

"Arwah bapa meninggalkan dua balu termasuk Bunga Kuntum Gemala Sari, 77, dan tiga orang anak," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Kesatuan Ragbi Negeri Sembilan (KRNS), Amir Sharifuddin Maarof berkata, Allahyarham seorang yang aktif dalam bidang pengadilan ragbi di Malaysia.

Beliau berkata, arwah disifatkan sebagai pengadil berpengalaman kerana banyak mengadili kejohanan bukan sahaja di peringkat tempatan dan kebangsaan, malah antarabangsa.

"Allahyarham Omar banyak menyumbang kepada pembangunan pengadilan sukan ragbi di negara ini termasuk di Negeri Sembilan.

"Beliau boleh disifatkan sebagai guru kepada pengadil muda dan pelapis kerana banyak memberikan bimbingan serta tunjuk ajar kepada mereka dalam meningkatkan kemahiran pengadilan ragbi.

"KRNS merasakan pemergian Allahyarham satu kehilangan besar dalam sukan ragbi tempatan walaupun beliau tidak aktif lebih 10 tahun berikutan faktor umur," katanya.

Ketika hayatnya, Allahyarham pernah dilantik KRM sebagai Pengurus Pasukan Ragbi 7s Sukan Komanwel 1998 (SUKOM '98).

Memulakan karier sebagai pengadil ketika masih bertugas dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada awal tahun 1980-an dan pernah bertugas sebagai pengadil di Kejohanan Ragbi Asia pada 1990-an.

Allahyarham turut dilantik sebagai Ahli Exco KRM dan menjawat jawatan Koordinator Kepengadilan KRM selama lebih 10 tahun sehingga 2000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 6:49 PM