PENGUAT KUASA KPDNHEP melakukan pemeriksaan di premis jualan runcit di Nilai. FOTO Ihsan KPDNHEP
PENGUAT KUASA KPDNHEP melakukan pemeriksaan di premis jualan runcit di Nilai. FOTO Ihsan KPDNHEP
Ahmad Hasbi

Nilai: Enam peniaga sekitar daerah ini dikenakan kompaun hasil pemeriksaan sempena Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) berikutan gagal meletakkan tanda harga merah jambu pada barang harga terkawal dijual.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, pemeriksaan bermula jam 9 pagi tadi dilakukan pasukan Penguatkuasa Pejabat KPDNHEP Daerah Seremban.

"Sebanyak enam peniaga di sekitar Nilai dikenakan kompaun kerana didapati melakukan kesalahan gagal meletakkan label berwarna merah jambu (pink plate) bagi barangan harga terkawal di bawah SHMKM.

"Kesalahan dilakukan mengikut subperenggan 2(2) Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan) Harga Barangan Harga Terkawal kerana tidak mematuhi subperenggan 2(1) Perintah sama," katanya semalam.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan harian di semua daerah di Negeri Sembilan bagi memastikan peniaga mengikut ketetapan skim berkenaan sehingga tarikh akhir iaitu pada 4 Februari depan.

"SHMKM terhadap 12 jenis barangan dilaksanakan selama 35 hari bermula dari 1 Januari hingga 4 Februari depan.

"Anggota Penguatkuasa dan Pegawai Pemantau Harga akan melakukan pemantauan setiap hari di seluruh negeri membabitkan pemeriksaan di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya serta peniaga di peringkat rantaian borong.

"Asas pemeriksaan untuk memastikan peniaga mengikut harga kawalan bagi barangan terkawal sebagaimana ditetapkan dan barangan yang dikawal di bawah skim ini dipamerkan dengan tanda merah jambu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 4:15 PM