ANTARA rumah di Kampung Seberang Batu Badak dan Gemerih, Segamat, yang masih digenangi banjir termenung. FOTO AHMAD ISMAIL
ANTARA rumah di Kampung Seberang Batu Badak dan Gemerih, Segamat, yang masih digenangi banjir termenung. FOTO AHMAD ISMAIL
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keadaan banjir di Melaka dan Johor semakin pulih apabila mangsa banjir di dua negeri berkenaan menurun, pagi ini manakala jumlah mangsa di Pahang tidak berubah.

Di Johor, jumlah mangsa banjir terus susut kepada 3,161 orang daripada 913 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 3,441 individu, petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, empat daerah masih terjejas banjir membabitkan 40 pusat pemindahan sementara (PPS) dengan Segamat mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,246 orang, diikuti Muar (1,107), Tangkak (678) dan Batu Pahat (130).

"Terdapat tujuh PPS ditutup di Segamat iaitu Balai Raya Sekolah Kebangsaan Mensudut lama, Bukit Limau Manis, Kampung Chodan, Dewan Serbaguna Kampung Paya Besar, Sekolah Menengah Kebangsaan Gemereh, Surau Al-Muhtadeen dan Dewan Serbaguna Taman Sri Alam 2.

"Lima sungai masih berada di paras bahaya iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat; serta Sungai Pagoh di Kampung Olak Sepam, Sungai Muar di Panchor, Sungai Muar di Liang Batu, dan Sungai Muar di Bukit Kepong, yang kesemuanya terletak di Muar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, mangsa banjir di negeri itu kini berjumlah 258 orang daripada 72 keluarga dengan semuanya ditempatkan tiga PPS di Jasin.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir pagi ini seramai 141 orang di empat PPS di tiga daerah, tidak berubah dari malam tadi, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Pekan mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 66 mangsa banjir tengkujuh yang bermula pertengahan bulan lalu manakala mangsa di Rompin (40 orang) dan Maran (35 orang) adalah mangsa bah gelombang kedua yang berlaku pada hari pertama 2022.

Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca di tiga daerah itu tidak hujan sepanjang hari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 11:26 AM