WAN Junaidi (kanan) menerima cenderahati daripada Pengarah Mahkamah Sarawak, Hakim Steve Ritikos selepas beliau melawat Kompleks Mahkamah Kuching, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
WAN Junaidi (kanan) menerima cenderahati daripada Pengarah Mahkamah Sarawak, Hakim Steve Ritikos selepas beliau melawat Kompleks Mahkamah Kuching, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi

Kuching: Empat mahkamah baharu dan satu kediaman rasmi Hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dicadang dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, cadangan lima projek pembangunan fizikal itu kini sedang dipertimbangkan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Menurutnya, mahkamah baharu itu dicadangkan untuk dibina di Limbang, Sri Aman, Mukah dan Kapit.

"Bangunan baharu perlu dibina kerana mahkamah sedia ada di Limbang, Sri Aman, Kapit dan Mukah kini beroperasi di bangunan gunasama di bahagian terbabit.

"Aspek keselamatan Hakim, Majistret dan orang awam serta semua pihak yang berurusan dengan mahkamah selain kekangan penggunaan bangunan gunasama sebagai lokasi mahkamah menjadi faktor utama bagi perancangan pembangunan kompleks mahkamah yang baharu di Sarawak," katanya pada sidang media di Mahkamah Kuching, hari ini.

Wan Junaidi berkata, pembinaan bangunan baharu itu sekali gus memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan memberi keselesaan kepada kakitangan serta semua pihak yang terbabit.

Mengenai pembinaan kediaman rasmi Hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak di Kuching, beliau berkata ia selaras dengan kelayakan seperti yang dinyatakan dalam Akta Saraan Hakim 1972.

"Kediaman rasmi itu lebih menjamin keselamatan Hakim ketika datang melaksanakan tugas di negeri ini berbanding beliau tinggal di hotel," katanya.

Sementara itu katanya, sebanyak 14 projek naik taraf, ubah suai dan pemuliharaan bangunan mahkamah di Sarawak diluluskan dalam RMK-12.

Projek dengan peruntukan sebanyak RM9.2 juta itu membabitkan kerja menaik taraf Kompleks Mahkamah Kuching, Kompleks Mahkamah Bintulu, Kompleks Mahkamah Miri, Mahkamah Kota Samarahan, Mahkamah Sibu dan Mahkamah Sarikei.

"Pelaksanaan projek itu selaras dengan fokus utama RMK-12 iaitu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 3:36 PM