Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Orang ramai mengambil kesempatan cuti hujung minggu ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Jalan Tunku Abdul Halim di sini untuk membuat permohonan baharu atau mengemas kini Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) hari ini.

Pekerja swasta Ibrahim Sulaiman, 49, berkata, dia mengambil kesempatan cuti untuk datang ke sini bagi membuat permohonan baharu selepas semakan di dalam sistem mendapati namanya tiada dalam senarai.

Menurutnya, sebelum ini, namanya ada dalam Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan sudah menerima wang bantuan itu.

"Namun ketika saya membuka laman sesawang untuk mengemas kini maklumat mendapati nama saya tiada dalam senarai penerima.

"Jadi, hari ini saya datang ke pejabat LHDN ini untuk membuat permohonan baharu," katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Ibrahim berkata, bantuan itu sedikit sebanyak meringankan bebannya sekeluarga, lagi pula tiga anaknya masih bersekolah.

"Ketika pandemik Covid-19 semua orang terjejas dengan harga barang naik... jadi dengan bantuan diterima ini dapatlah membantu kami sekeluarga," katanya.

ORANG ramai membuat permohonan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) 2022 di kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Jalan Duta. FOTO Saifullizan Tamadi
ORANG ramai membuat permohonan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) 2022 di kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Jalan Duta. FOTO Saifullizan Tamadi

Sementara itu, suri rumah J Puspalatha, 31, berkata, dia bersama suami dan ibunya datang ke pejabat LHDN hari ini untuk mengemaskini maklumat dan membuat permohonan baharu buat ibunya.

"Sebelum ini ibunya tidak pernah dapat kerana tiada surat cerai bersama bapa saya menyebabkan permohonan terdahulu tidak diterima.

"Tetapi hari ini selepas mendapat dokumen diperlukan maka saya datang membawanya untuk membuat permohonan baharu," katanya.

Katanya, dia berterima kasih kepada kerajaan kerana mewujudkan bantuan ini yang memang meringankan bebannya, tambahan pula hanya suaminya sahaja yang bekerja menyara keluarga.

Pesara Ng Kok Ling, 62, berkata, dia turut datang ke LHDN hari ini untuk mengemas kini maklumat peribadinya untuk bantuan itu.

Katanya, sebelum ini dia layak menerima bantuan itu dan wang diterima itu memang meringankan bebannya.

Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) ditambah baik dengan kumpulan yang terkesan termasuk golongan bujang diberi lebih tumpuan dan menerima bantuan itu dengan nilai keseluruhan RM8.2 bilion.

Secara keseluruhan, BKM tahun ini akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion iaitu peningkatan berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan RM7 bilion di bawah BPR tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 2:40 PM