KHAIRY Jamaluddin.
KHAIRY Jamaluddin.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menafikan dirinya belum menerima vaksin Covid-19 seperti dakwaan tular di media sosial yang menunjukkan maklumat status vaksinasinya.

"Dalam tangkap layar itu (daripada laman sesawang

https://www.vaksincovid.gov.my/semak-status), status janji temu saya dinyatakan sebagai 'sedang diproses' sementara butiran lain seperti lokasi pusat vaksin, tarikh dan masa janji temu tidak dinyatakan.

"Untuk makluman, laman sesawang berkenaan diwujudkan pada peringkat awal pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi memudahkan urusan semakan kepada orang awam.

"Namun, selepas kadar vaksinasi populasi dewasa mencapai 90 peratus pada Oktober 2021, laman sesawang itu tidak lagi aktif atau dikemas kini," katanya dalam hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

Khairy menegaskan, beliau sudah menerima suntikan dos pertama vaksin CoronaVac pada 18 Mac 2021 dan menjadi individu pertama di Malaysia yang menerima vaksin keluaran Sinovac.

"Malah, pengambilan dos pertama itu turut disiarkan secara langsung di saluran televisyen dan saya juga menunjukkan paparan MySejahtera saya selepas menerima vaksin. Sesiapa belum menonton siaran langsung itu boleh tonton di pautan https://youtu.be/EtyaZ-BaPb8.

"Manakala suntikan dos kedua saya terima pada 8 April 2021. Saya juga sudah menerima suntikan dos penggalak vaksin Comirnaty keluaran Pfizer pada September lalu sebelum berlepas ke Himeji, Jepun bagi Mesyuarat Jawatankuasa Rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WPRCM) Ke-72," katanya.

Beliau meminta orang ramai agar tidak terpengaruh dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mahu menidakkan usaha vaksinasi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 1:45 PM