FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Jemaah umrah diberi pilihan untuk menjalani kuarantin di stesen kuarantin diuruskan kerajaan atau stesen kuarantin swasta yang disenaraikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, kerajaan memahami kerisauan jemaah mengenai kos tambahan dan ketidakselesaan semasa kuarantin.

"Bagi penempatan kuarantin diurus kerajaan, pesakit dalam pemantauan (PUS) iaitu jemaah yang negatif ujian saringan Covid-19 akan ditempatkan di hotel atau Pusat Latihan Awam (ILA) bergantung kepada ketersediaan bilik pada hari ketibaan.

"Bagi pilihan ini, kos urusan kuarantin ditanggung oleh kerajaan termasuk makan, minum dan pengangkutan dari lapangan terbang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Antara pusat kuarantin diuruskan kerajaan adalah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) Nilai, Negeri Sembilan; Institut Aminuddin Baki (IAB) Nilai; Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi, Selangor; Institut Semarak Felda (ISEF) Bangi; Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) Bangi dan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Sementara itu, Abd Latiff berkata, jemaah umrah yang ingin berurusan terus dengan stesen kuarantin swasta perlu merujuk hotel yang disenaraikan Nadma.

Menurutnya, hotel disenaraikan termasuk Klana Resort Seremban, Negeri Sembilan selain di Kuala Lumpur (Hotel Royal, Hotel Swiss Garden, Hotel IBIS, Hotel Furama, Hotel Mercure Kuala Lumpur Shaw Parade, IBIS Style KL Fraser Business Park, Hotel AnCasa, Hotel Cosmo, Hotel KIP dan Hotel Arena Star).

Katanya, di Selangor pula ialah Hotel Sama-Sama, Hotel Dorsett Grand Subang, Hotel Crystall Crown, Hotel Sunway Clio, Hotel Hilton Garden Inn, Hotel Oriental Crystal, Hotel Summit dan Hotel Pegasus.

"Tempoh kuarantin adalah seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 5:23 PM