GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Sampel burung hijrah yang dihantar menjalani analisis makmal bagi mengenal pasti punca berlaku jangkitan Japanese Encephalitis (JE) hingga menyebabkan tiga kematian di negeri ini didapati negatif.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Othman Warijo berkata, semua sampel berkenaan dihantar ke makmal di Kuala Lumpur bagi mengenal pasti punca jangkitan kes JE baru-baru ini.

"Kesemua sampel burung hijrah yang dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan di Kuala Lumpur adalah negatif. Selain itu, tiada pertambahan kes JE di negeri ini," katanya ketika dihubungi di sini.

Pada 12 Disember lalu, media melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman memaklumkan JKN Kedah sudah menghantar sampel burung hijrah untuk analisis makmal bagi mengenal pasti punca berlaku jangkitan JE.

Beliau berkata, sampel burung berkenaan ditangkap di kawasan kes jangkitan iaitu di Jalan Pegawai dan Jalan Tanjung Bendahara di sini.

November lalu, JKN Kedah mengisytiharkan wabak JE berlaku di Kota Setar selepas mengesan dua kes membabitkan pesakit tempatan.

Kes itu turut menyebabkan dua kematian membabitkan individu dewasa di Kota Setar pada 18 dan 25 November, selain satu lagi kes kematian di Pendang membabitkan kanak-kanak empat tahun pada 13 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 4:34 PM