DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor (tengah) menyerahkan hadiah cabutan bertuah utama kepada peserta di sini, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor (tengah) menyerahkan hadiah cabutan bertuah utama kepada peserta di sini, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: Kerajaan negeri Kedah sudah melantik panel peguam untuk menguruskan tuntutan caj air mentah diambil Pulau Pinang melalui Sungai Muda.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan itu diambil bagi menunjukkan kerajaan negeri sangat serius dalam isu itu setelah sekian lama permintaan tidak diendahkan Pulau Pinang.

"Kita sudah lantik panel peguam menerusi konsultan (juru runding), kita punya juru runding itu pun masih melihat seorang dua lagi peguam senior untuk menyertai panel berkenaan.

"Kita sangat serius mengenai isu ini dan akan pergi lebih serius, kita akan dapatkan caj air mentah ini dengan apa cara sekali pun seperti dibenarkan undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Kayuhan Santai Keluarga Sejahtera Bersama Menteri Besar Kedah di Dataran Jam Besar Sungai Petani, di sini, hari ini.

Turut hadir, pengerusi program itu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan dan Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam negeri, Dr Robert Ling Kui Ei.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya akan menyerahkan tindakan lanjut kepada panel peguam dilantik bagi melihat cara terbaik untuk memulakan proses tindakan undang-undang terhadap Pulau Pinang.

Katanya, tuntutan caj air mentah kepada Pulau Pinang bukan sahaja menjadi harapan beliau, namun harapan semua rakyat Kedah.

"Kita bukan orang purba hendak redah pergi begitu sahaja, Syarikat Air Darul Aman (SADA) pun membuat bayaran kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).

"Jadi harap Pulau Pinang pun bayar lah, saya sudah serius tapi depa (Pulau Pinang) yang tak serius," katanya.

Kerajaan negeri Kedah sebelum ini mengemukakan tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun, berikutan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapat bekalan air dari Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah.

Kerajaan negeri Pulau Pinang pula dilihat tidak mahu melayan tuntutan itu.

Menurut Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow, ini kerana penggunaan air oleh Pulau Pinang dari sungai khususnya di kawasan sempadan negeri ini adalah sejajar dengan hak dan undang-undang antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 2:12 PM