AZMAN (kiri) memeriksa harga jualan telur. FOTO Danial Saad
AZMAN (kiri) memeriksa harga jualan telur. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Empat barangan keperluan harian dilaporkan akan mengalami penurunan harga, bermula esok.

Ia selepas empat daripada 12 jenis barangan berkenaan berada di bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Pengguna, Azman Adam berkata, empat barangan dimaksudkan itu adalah ayam segar, telur dan dua jenis sayuran iaitu sawi dan kacang panjang.

"Mulai esok akan terdapat harga baharu untuk SHMKM di Semenanjung dengan mengambil kira situasi dan lokaliti.

"Empat item akan mengalami pelarasan semula harga iaitu ayam dari RM9.30 kepada RM9.10 serta penurunan harga telur, sawi dan kacang panjang sekitar 50 sen.

"Hal ini kita mengikut trend dan keadaan harga semasa, jadi kita turunkan harga terbabit semasa ia turun serta untuk pastikan harga itu tidak naik lagi dalam tempoh kawalan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan program Walkabout Op Back To School dan SHMKM di Pasaraya Mydin, Jalan Baru, di sini, hari ini.

Terdahulu, SHMKM sepatutnya berakhir hari ini, namun dilanjutkan selama 35 hari lagi berkuat kuasa 1 Januari hingga 4 Februari tahun depan.

Azman berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan di 25,897 premis dalam tempoh pelaksanaan SHMKM bermula 7 Disember lalu hingga semalam.

"Daripada pemeriksaan dijalankan terdapat 85 kesalahan dikesan membabitkan peniaga menjual melebihi harga maksimum serta gagal mempamerkan tanda harga.

"Setakat ini, kita mengeluarkan kompaun berjumlah RM20,000 dan banyak kes lain masih menunggu siasatan.

"Manakala, bagi Skim harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2021 pada 23 Disember hingga 31 Disember, pematuhannya adalah hampir 100 peratus daripada 7,178 premis diperiksa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azman berkata, pihaknya tidak menerima aduan berhubung kenaikan harga di tempat terbabit banjir seperti Selangor dan Pantai Timur.

"Setakat ini, kita tidak menerima aduan kenaikan harga di tempat terbabit banjir dan cuma ada beberapa kes barang terputus sementara berikutan masalah logistik di beberapa kawasan.

"Bagaimanapun, satu operasi khusus akan diadakan esok bagi memastikan isu mengenai bekalan barangan di negeri berkenaan dapat ditangani dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 3:20 PM