SEBAHAGIAN jemaah umrah yang tiba dari Arab Saudi di KLIA. FOTO Aswadi Alias
SEBAHAGIAN jemaah umrah yang tiba dari Arab Saudi di KLIA. FOTO Aswadi Alias
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Rakyat Sabah yang menunaikan umrah ke Tanah Suci sebelum 28 Disember lalu dan kembali ke Malaysia dibenarkan meneruskan perjalanan masuk ke negeri ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dalam satu kenyataan media hari ini memperincikan beberapa ketetapan tertentu yang harus dipatuhi jemaah umrah berhubung perkara terbabit.

Menurutnya, jemaah umrah negeri ini dikehendaki menjalani kuarantin di Sabah tertakluk kepada ujian pengesanan Covid-19 RT-PCR yang disahkan negatif.

"Kerajaan negeri akan menyediakan perkhidmatan doktor berdaftar bagi menjalani ujian pengesanan Covid-19 di pintu masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) secara percuma kepada rakyat Sabah (warga Malaysia).

"Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan tempat penginapan kepada rakyat Sabah yang disahkan positif Covid-19 dan perlu menjalani tempoh kuarantin di Kuala Lumpur.

"Kita akan menyalurkan bantuan melalui Yayasan Kebajikan Sabah dan akan diselaraskan bersama dengan Pejabat Perhubungan Negeri Sabah, Kuala Lumpur," katanya.

Mengulas lanjut berhubung ketetapan terbabit, Hajiji berkata, bagi rakyat Sabah yang bertolak menunaikan umrah dan keluar negara selepas 28 Disember tiba di Malaysia akan diwajibkan menjalani kuarantin tujuh atau 10 hari di Kuala Lumpur.

Katanya, kos kuarantin termasuk penginapan dan sebagainya ditanggung oleh jemaah umrah atau ejen pelancongan umrah masing-masing.

Disamping itu, Hajiji turut menegaskan ejen pelancongan umrah hendaklah memasukkan kos kuarantin termasuklah penginapan dan sebagainya dalam pakej umrah yang disediakan.

"Kos kuarantin termasuk penginapan dan sebagainya bagi rakyat Sabah yang pulang kembali dari luar negara adalah atas tanggungan sendiri.

"Syarat kuarantin adalah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan kerajaan negeri dari semasa ke semasa.

"Bagaimanapun, kemasukan individu ke negeri Sabah adalah tertakluk kepada syarat Pihak Berkuasa Negeri (PBN) yang sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 8:08 PM