TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan membunuh kekasihnya pada 4 Disember lalu. FOTO Zuhainy Zulkiffli
TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan membunuh kekasihnya pada 4 Disember lalu. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Buruh binaan warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh kekasihnya pada 4 Disember lalu.

Tertuduh, Kamruzzaman, 37, mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret R Manomani.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes berkenaan di bawah kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian ke atas warga Indonesia, Sumita, 45.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah unit kediaman di Sri Nipah, Medan Nipah, Sungai Dua di sini, antara jam 9.30 malam pada 4 Disember hingga 1.20 pagi, 6 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nazri Abdul Rahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 Februari 2022 bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Dalam perkembangan lanjut, Kamruzzaman dijatuhkan hukuman penjara lima bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tinggal lebih masa di Malaysia tanpa sebab munasabah sedangkan pasport miliknya tamat tempoh pada 12 Mei 2019.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada jam 2 petang semalam dan dituduh mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh jatuh hukum.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, seorang wanita warga Indonesia ditemukan mati dengan kesan kelar di dada, leher, perut dan telinga di tingkat tiga Apartmen Sri Nipah, Medan Nipah.

Mayat wanita itu ditemukan oleh dua lelaki warga Bangladesh dalam keadaan berlumuran darah.

Pemeriksaan polis menemukan tali dan dua bilah pisau pemotong daging berhampiran mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 1:44 PM