GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Pengembara dari luar negara yang mahu ke Sabah perlu menjalani kuarantin wajib tujuh hari apabila tiba di Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke negeri ini berkuat kuasa esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun berkata, kuarantin mandatori itu perlu dipatuhi pengembara dari senarai negara yang diumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini.

Katanya, kuarantin wajib tujuh hari itu dikenakan bagi individu yang sudah lengkap vaksin, manakala 10 hari bagi yang belum menerima vaksin lengkap di pusat kuarantin yang ditetapkan KKM.

"Seperti yang diumumkan semalam, mulai esok, semua pengembara yang datang dari negara tertentu melalui penerbangan antarabangsa dan berhasrat ke Sabah atau dalam perjalanan balik ke Sabah akan melalui kuarantin mandatori tujuh hari di Kuala Lumpur sebelum dibenarkan untuk meneruskan perjalanan ke Sabah.

"Senarai negara yang yang terbabit dengan peraturan terbaharu ini sudah diumumkan semalam," katanya dalam kenyataan media malam ini.

Peraturan atau protokol berkenaan dikenakan terhadap pengembara yang datang atau balik dari United Kingdom, Arab Saudi, Australia, Norway, Perancis, Kanada, Denmark, Nigeria, Amerika Syarikat, India Dan Pakistan.

Negara terbabit dikenal pasti berisiko tinggi jangkitan Covid-19 varian Omicron.

Selain itu, tatacara sama turut dikenakan terhadap pengembara dari negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.

Masidi berkata, bagi pengembara yang datang dari negara yang dikenakan sekatan perjalanan, kuarantin wajib ditetapkan selama 14 hari di pusat kuarantin ditetapkan KKM.

Katanya, selepas selesai menjalani kuarantin wajib di Kuala Lumpur, barulah pengembara antarabangsa terbabit dibenarkan memasuki Sabah.

Sementara itu, beliau berkata, bagi rakyat negara asing yang tiada pengecualian khas memasuki Sabah, mereka juga perlu memohon kebenaran daripada Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah untuk masuk ke negeri ini.

Dalam pada itu, Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah berkata, kes harian Covid-19 di negeri ini kekal stabil walaupun ada pertambahan 17 kes berbanding semalam menjadikan jumlah terbaharu sebanyak 125 kes hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 10:45 PM