RAKAMAN video yang tular di media sosial. FOTO tular TikTok
RAKAMAN video yang tular di media sosial. FOTO tular TikTok
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis Daerah Dang Wangi menafikan pihaknya menghalang sambutan Krismas pada 24 Disember lalu di lokasi tumpuan orang ramai di sekitar ibu kota ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi satu minit 34 saat mendakwa polis serta tentera menghalang sambutan Krismas yang dimuat naik pemilik TikTok @jamalali866, hari ini.

"Ingin menjelaskan bahawa pada malam sambutan Krismas pada Jumaat lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menjalankan penugasan rondaan keselamatan bagi penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 di lokasi tumpuan orang ramai.

"Penugasan itu turut membabitkan bantuan sumber manusia dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bukan pasukan tentera seperti dinyatakan dalam video tular berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Dellhan berkata, pasukan pematuhan digerakkan ke lokasi tertentu yang menjadi tumpuan orang ramai bagi mencegah sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat hingga menyukarkan penjarakan fizikal serta pengamalan SOP.

"Justeru itu, orang ramai dinasihatkan supaya terus mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memerangi wabak Covid-19.

"Kegagalan mematuhi SOP ini membolehkan tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 11:43 PM