Sukarelawan membantu mangsa banjir.
Sukarelawan membantu mangsa banjir.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pelbagai pihak terus menyantuni mangsa banjir di Jelebu, Negeri Sembilan sejak beberapa hari lalu.

Terbaharu, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) cawangan kecil Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL), Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dan MyKasihCare menganjurkan Misi Kasih Jelebu untuk membantu mangsa banjir yang terjejas.

Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPNM, memaklumkan seramai 300 sukarelawan bergerak ke Kampung Kuala Pah, Kampung Titi, Bandar Tinggi dan Kampung Jerang bagi menyertai aktiviti gotong royong pembersihan kawasan banjir yang terjejas teruk.

Menurutnya, sumbangan dari pihak luar berbentuk barangan keperluan, set solat, barangan penjagaan diri dan pek makanan kering dari semua pihak digerakkan serta merta dan dikumpul serta diagihkan kepada mangsa banjir.

"Misi ini akan diteruskan pada sepanjang masa terutama untuk kerja pembersihan pasca banjir," katanya dalam kenyataan.

Negeri Sembilan antara negeri yang terjejas akibat banjir sejak beberapa hari lalu.

Hujan lebat berterusan selama beberapa hari menyebabkan banyak kawasan dinaiki air selain beberapa jalan tidak dapat dilalui kenderaan ringan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 4:05 PM