Ayob Khan menemui suspek di Hentian Simpang Renggam (U) Lebuhraya Utara Selatan.  FOTO MOHAMAD FAHD RAHMAT
Ayob Khan menemui suspek di Hentian Simpang Renggam (U) Lebuhraya Utara Selatan. FOTO MOHAMAD FAHD RAHMAT
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Seorang pemandu lori ditahan dalam Ops Khas Bersepadu (Bas Ekspres / Persiaran) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Johor di Hentian Simpang Renggam (U) Lebuhraya Utara Selatan di sini malam tadi selepas positif syabu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati lelaki berusia 42 tahun itu mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah sejak 2017.

Katanya, seramai 31 orang menjalani ujian saringan air kencing dalam operasi itu dan salah seorang daripadanya positif dadah syabu.

"Isu pemandu lori dan kenderaan perdagangan yang terbabit dadah atau alkohol memang serius dan perbuatan bukan sahaya membahayakan diri malah pengguna jalan raya lain," katanya kepada pemberita di lokasi operasi hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng.

Ayob Khan berkata, dalam operasi itu seramai 118 individu dan 98 kenderaan diperiksa manakala 121 saman meliputi pelbagai kesalahan dikeluarkan.

Katanya, lapan penumpang bas turut dikompaun kerana gagal mengimbas di aplikasi MySejahtera seperti termaktub dalam prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan.

"Satu Notis Arahan dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap pemilik kenderaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 6:00 PM