BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) menjangka peningkatan kes positif Covid-19 di pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negara, susulan bencana banjir yang berlaku di Malaysia ketika ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, ini berikutan keadaan PPS yang dianggap berisiko tinggi serta langkah dan pematuhan kesihatan awam yang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya ketika berdepan musibah banjir.

"Dalam kita menyelamat mangsa banjir ini, keutamaan adalah untuk menyelamatkan mereka dan kadang kala memang tak dapat elakkan beberapa perkara yang sepatutnya dibuat dalam langkah kesihatan awam tidak dapat dipatuhi," katanya dalam sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.

Khairy berkata, sehingga 11 pagi tadi, 181 kes dikesan positif Covid-19 di PPS seluruh negara membabitkan 117 kes di Selangor, Pahang (52), Kelantan (enam), Kuala Lumpur (empat) dan masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Melaka.

Hasil saringan di PPS itu juga mendapati kebanyakan kes adalah daripada kategori satu dan dua dengan kesemua mereka dipindahkan ke hospital, Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau kemudahan yang ditentukan iaitu PPS khusus untuk mereka yang mempunyai kes Covid-19.

Khairy Jamaludin mengadakan sidang media mengenai isu banjir selepas menghadiri Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Khairy Jamaludin mengadakan sidang media mengenai isu banjir selepas menghadiri Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA

Menurut Khairy, KKM juga mengenal pasti 206 mangsa banjir sebagai kontak rapat dan mereka juga dipindahkan ke PPS yang khusus serta hospital.

Bagi menghadapi pertambahan kes Covid-19, Khairy berkata, sistem kesihatan awam sudah disiap sedia untuk menerima lebih ramai pesakit disebabkan musibah banjir yang melanda ini.

"Kita akan tambah bilangan pasukan KKM di lapangan. Kita akan teruskan dengan saringan-saringan di PPS supaya kita dapat kenal pasti mereka yang positif Covid-19 dan mereka diasingkan dan kontak rapat mereka juga sudah dikenal pasti dan diasingkan," katanya.

Selain itu, bekalan pelitup muka, cecair pensanitasi tangan dan pelbagai keperluan lain juga sudah dihantar ke semua PPS sejak dua hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 1:38 PM