Siti Rohana Idris


Jeli: Selepas enam jam berlindung di pondok dalam kebun getah, pasangan suami isteri warga emas dari Kampung Jeli Lama di sini, akhirnya dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berhampiran.

Norhayati Mat Noor, 63, dan suaminya, Kamarudin Mat Nor, 67, yang juga menghidap strok 'dilarikan' ke pondok yang terletak di atas bukit iaitu kira-kira 10 kilometer dari rumahnya pada 3 petang semalam oleh anak saudaranya berikutan air semakin meningkat dan hampir memasuki rumahnya.

Dia berkata, mereka terpaksa keluar menyelamatkan diri terlebih dahulu disebabkan PPS berhampiran masih belum dibuka dan sebaik dibuka pada 9 malam tadi, mereka terus dibawa ke Sekolah Kebangsaan (SK) Jeli 1.

"Hanya Tuhan sahaja tahu perasaan saya ketika melihat air semakin naik, rumah adik tidak jauh dari kediaman saya ketika itu dinaiki air pada paras 0.5 meter kerana lokasinya agak rendah.

"Saya hanya tinggal berdua bersama suami yang uzur kerana strok dan hanya mampu berjalan perlahan-lahan sebelum dibawa oleh anak saudara ke pondok dalam kebun getah yang terletak di Sungai Rual.

"Pondok kecil itu dibina adik untuk untuk berehat selepas menoreh getah, ia juga menjadi tempat berlindung setiap kali banjir melanda mereka sekeluarga," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Norhayati dan suaminya adalah antara 32 mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Jeli 1 membabitkan sembilan keluarga yang kebanyakannya dari Kampung Jeli Lama.

Menurutnya, dia dan suami terpaksa dibawa ke PPS kerana pondok yang terletak jauh di dalam hutan itu agak sempit dan hanya mampu memuatkan keluarga adiknya seramai lapan orang.

Katanya, setiap tahun situasi begitulah dialaminya memandangkan kediaman mereka hanya terletak kira-kira 100 meter dari sungai yang sering berlaku limpahan jika hujan lebat berterusan di bahagian hulu.

"Saya sangat risaukan keadaan diri yang mengalami sakit lutut serta suami yang sukar bergerak jika situasi ini kembali berlaku memandangkan musim tengkujuh masih belum berakhir.

"Nasib baik PPS segera dibuka kerana kami tiada tempat lain untuk berlindung selain pernah berteduh dalam kereta uzur milik kami sementara menunggu PPS dibuka," katanya sambil memberitahu hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan yang diterima suaminya untuk kelangsungan hidup.

Norhayati bersama suaminya, Kamarudin yang menghidap strok ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Jeli (1), di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Norhayati bersama suaminya, Kamarudin yang menghidap strok ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Jeli (1), di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 6:06 PM