PETUGAS perubatan memberikan suntikan dos penggalak kepada penerima di PPV Offsite Tapak Ekspo Seberang Jaya di sini, yang dikendalikan Poliklinik Bagan. FOTO Danial Saad
PETUGAS perubatan memberikan suntikan dos penggalak kepada penerima di PPV Offsite Tapak Ekspo Seberang Jaya di sini, yang dikendalikan Poliklinik Bagan. FOTO Danial Saad
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Tiada keperluan untuk mewujudkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega bagi mempercepatkan dos penggalak dan dana serta sumber yang ada seharusnya digunakan bagi mengukuhkan sektor kesihatan awam.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Koh Kah Chai berkata, sehingga kini sudah terdapat 2,459 PPV swasta yang menguruskan pemberian dos penggalak di seluruh negeri.

"Peratusan mereka yang tidak hadir ke janji temu dos penggalak masih tinggi. Isu inilah yang perlu ditangani bagi meningkatkan peratusan pengambilan dos penggalak.

"MMA sebelum ini sudah menyatakan terdapat keraguan dalam kalangan orang ramai untuk menerima vaksinasi 'heterologous'.

"Justeru, lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk meyakinkan orang ramai bahawa dos penggalak 'heterologous' adalah selamat.

"Daripada maklum balas yang diterima, masih ramai yang tidak mahu menerima suntikan Pfizer selepas divaksinasi sepenuhnya dengan Sinovac.

"Apabila tiada pilihan diberikan, ramai yang akan memilih untuk tidak menerima dos penggalak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Koh berkata, pembukaan pusat pemberian dos penggalak yang besar tidak diperlukan sekiranya peratusan yang tidak hadir ke janji temu adalah tinggi.

"Ia akan menjurus kepada pembaziran dana dan sumber yang boleh digunakan dengan lebih baik di kawasan yang lebih memerlukan bantuan segera dalam sektor kesihatan negara kita," katanya.

Beliau turut menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mempertimbangkan semula rancangan berkenaan dan memberi tumpuan bagi meyakinkan orang ramai mengenai keselamatan dos penggalak 'heterologous' melalui perkongsian bukti yang mencukupi serta diiktiraf oleh pertubuhan kesihatan dunia.

"Di samping itu, PPV swasta akan melakukan tugasnya dengan bekerjasama dengan pihak kerajaan, dalam pemberian dos penggalak.

"Pengamal perubatan swasta sudah menyumbang kepada 48 peratus daripada jumlah pemberian vaksin di seluruh negeri. Kami percaya pengambilan dos penggalak akan meningkat pada minggu-minggu akan datang cuma orang ramai memerlukan sedikit galakan untuk meyakinkan mereka.

"Satu cara terbaik untuk mencapai matlamat ini adalah melalui PPV pengamal perubatan swasta yang kerap berhubung dengan pesakit mereka.

"Layanan 'impersonal' di PPV Mega tidak dapat membantu untuk mengatasi keraguan terhadap vaksin dan sebaliknya akan menimbulkan perdebatan mengenai tindakan kerajaan yang menggesa untuk memberikan suntikan dos penggalak kepada rakyat," katanya.

Katanya, ketika pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), walaupun tempat disediakan secara percuma, namun kerajaan masih perlu membayar utiliti seperti elektrik dan kos pemasangan yang agak tinggi.

"Pekerja sektor kesihatan awam kini sepatutnya berada di kemudahan penjagaan kesihatan awam yang ditetapkan kerana terdapat kekurangan tenaga pekerja di hampir semua kemudahan penjagaan kesihatan awam di negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 4:46 PM