Timbalan Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Ahmad Amzad Hashim (dua kanan) bersama pengarah KPDNHEP Saharuddin Mohd Kia di gerai jalan ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di perkarangan tempat letak kereta berhadapan Muzium Negeri. FOTO ZAID SALIM
Timbalan Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Ahmad Amzad Hashim (dua kanan) bersama pengarah KPDNHEP Saharuddin Mohd Kia di gerai jalan ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di perkarangan tempat letak kereta berhadapan Muzium Negeri. FOTO ZAID SALIM
Zaid Salim

Kuala Terengganu: Sebanyak lebih 700 kilogram (kg) produk sejuk beku membabitkan ikan dan hidupan laut lain yang dijual pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM), di sini, habis dalam tempoh dua jam.

Musim tengkujuh yang menyukarkan orang ramai untuk mendapatkan bekalan makanan ikan dan ayam selain harga ditawarkan murah berbanding pasaran biasa menyebabkan program berkenaan yang diadakan di perkarangan letak kereta berhadapan Muzium Negeri mendapat sambutan luar jangka.

Selain ikan dan produk laut lain seperti sotong, kerang, lala dan kupang, pengunjung tidak melepaskan untuk mendapatkan ayam segar yang dijual pada harga RM8 sekilogram selain barangan runcit lain.

Pengunjung Hasmah Jusoh, 47, dari Kampung Manir di sini, berkata, program berkenaan seharusnya diteruskan untuk tempoh masa panjang kerana ia banyak memberi manfaat kepada orang ramai terutama mereka daripada golongan yang tidak berkemampuan.

Katanya, sejak program berkenaan dilaksanakan dia tidak berkesempatan untuk mengunjungi berikutan lokasi program jauh dari tempat tinggal.

"Hari ini saya tidak melepaskan peluang dan datang seawal pagi kerana tidak mahu terlepas barangan yang hendak dibeli seperti bahan basah antaranya ikan, ayam serta sayuran dan barangan runcit.

"Pelbagai barangan saya peroleh dengan hanya membelanjakan tidak sampai RM100," katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Seorang lagi pengunjung, Ramli Muda, 50, dari Kampung Losong, di sini, turut berpendapat sama yang mahu kerajaan meneruskan program berkenaan untuk tempoh masa panjang.

Katanya, bersesuaian dengan keadaan sekarang di mana harga barangan yang meningkat naik memberi beban kepada golongan tidak berkemampuan.

Justeru katanya, PJKM dilaksanakan kerajaan itu tepat pada masanya bagi meringankan beban rakyat.

Program dilaksanakan serentak di semua daerah di negeri ini itu dirasmikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Saharuddin Mohd Kia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 3:54 PM