Burung Hijrah. FOTO ARKIB NSTP
Burung Hijrah. FOTO ARKIB NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Baling: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah sudah menghantar sampel burung hijrah untuk analisis makmal bagi mengenal pasti punca berlaku jangkitan Japanese Encephalitis (JE) sehingga menyebabkan tiga kematian di negeri ini pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, burung itu ditangkap di kawasan kes berlaku iaitu di Jalan Pegawai dan Jalan Tanjung Bendahara dekat Alor Setar.

"Kita sudah hantar sampel burung hijrah itu ke Institut Penyelidikan Perubatan di Kuala Lumpur, baru-baru ini untuk diteliti punca jangkitan.

"Ia memerlukan sedikit masa berikutan pihak penyelidikan perlu mengkaji mengenai virus itu, ia bukan senang kerana kita terpaksa uji untuk lihat kesannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas orogram Gotong Royong Perdana Pasca Banjir Musim Peralihan Monsun Timur Laut Peringkat Daerah Baling di surau Kampung Bukit, Kuala Kuang, Kupang, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri AbdulAzeez Abdul Rahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kupang Datuk Najmi Ahmad, di sini, hari ini.

Katanya, keputusan itu dijangka akan diperolehi tidak lama lagi dan setakat ini tiada kes baharu dilaporkan.

Pada November lalu, media melaporkan JKN Kedah mengisytiharkan wabak JE di Kota Setar selepas mengesan dua kes pada bulan lalu.

Dua kematian baharu yang dilaporkan Jabatan Kesihatan negeri di Kota Setar pada 18 dan 25 November lalu iaitu di Jalan Pegawai dan Jalan Tanjung Bendahara, di mana mangsa adalah golongan dewasa.

Manakala satu lagi kes kematian di Pendang membabitkan mangsa kanak-kanak berusia empat tahun pada 13 Oktober lalu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan pembinaan Hospital Pendang, Dr Mohd Hayati berkata, hospital berkenaan dijangka akan mula beroperasi pada April 2022.

Katanya, sehingga kini pembinaan hospital itu sudah mencapai hampir 90 peratus, namun terdapat isu yang perlu diselesaikan.

"Kita sedang menguruskan pengambilan tanah untuk membesarkan jalan dan longkang di hospital, sebelum ini urusan itu tidak dibuat, jadi Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang uruskan hal ini.

"Dari segi lain tiada masalah dan kita jangka ia akan beroperasi April tahun depan," katanya.

Cadangan pembinaan Hospital Pendang yang terletak di di Kampung Manggol Pauh, Pendang diusahakan sejak sekian lama dan ianya berkapasiti 126 katil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 2:59 PM