Calon GPS DUN Nangka, Dr Annuar Rapaee berjalan di kawasan Delta di Sibu untuk mengedar risalah kempennya selain bertemu pengundi hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Calon GPS DUN Nangka, Dr Annuar Rapaee berjalan di kawasan Delta di Sibu untuk mengedar risalah kempennya selain bertemu pengundi hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Oleh Mohd Roji Kawi


Sibu: Walaupun beberapa kali disergah anjing, ia tidak menghalang calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka, Dr Annuar Rapaee mengedarkan risalah kempennya di rumah di kawasan Delta di sini, hari ini.

Malah beberapa ekor anjing yang tidak diikat keluar dari pagar rumah dan cuba mengejar Dr Annuar, namun ia tidak menghalang beliau untuk terus berjalan di kawasan perumahan itu bagi bertemu pengundi.

Mengakui kaedah berkempen ketika ini agak sukar kerana DUN Nangka tidak termasuk di dalam kawasan yang dibenarkan ceramah diadakan, beliau akur dan sanggup berjalan dalam keadaan panas terik, semata-mata untuk menyampaikan sendiri risalah kepada pengundi di kawasan itu.

"Memang terasa perbezaannya berbanding pilihan raya terdahulu kerana sebelum ini kita boleh berceramah di mana-mana sahaja.

"Tetapi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang dilaksanakan sekarang tidak bermakna terus menghalang kita daripada menemui pengundi. Kita masih boleh melakukannya dengan berjalan-jalan sambil mengedar risalah dan menyapa pengundi, bukannya berceramah," katanya.

Dr Annuar yang menyandang kawasan DUN Nangka selama dua penggal sejak 2011, berhadapan dengan calon dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), Intanurazean Wan Sapuan Daud dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Olivia Lim Wen dalam usahanya mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12), 18 Disember ini.

DUN Nangka mempunyai seramai 23,092 pengundi berdaftar dengan 11,393 atau 49.34 peratus pengundi adalah lelaki, manakala baki 11,699 atau 50.66 peratus lagi pengundi wanita.

Daripada jumlah itu, pengundi Bumiputera iaitu Melayu, Melanau, Iban dan Bidayuh meliputi 76 peratus manakala selebihnya bukan Bumiputera.

Mengulas lanjut, Dr Annuar berkata, beliau mendapat maklum balas yang baik sepanjang tujuh hari berkempen termasuk penerimaan daripada pengundi bukan Bumiputera.

"Tetapi ini tidak bermakna saya dan GPS dalam keadaan selesa. Kita tidak harus menganggap mudah cabaran pihak lawan.

"Untuk itu, saya terus memperhebatkan kempen dalam tempoh enam hari terakhir ini dengan terus berjalan dan berbasikal untuk menemui pengundi serta terus menggunakan media sosial untuk menyampaikan tawaran saya kepada pengundi Nangka," katanya.

Menurutnya lagi, kempennya turut dibantu pertubuhan Suara Anak Muda yang berkempen dengan menaiki bas dan menggunakan pembesar suara untuk merayu undi selain membantu kempen menerusi dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 1:32 PM