Ismail Sabri (dua dari kiri) merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Ber di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini. FOTO  ROSELAN AB MALEK
Ismail Sabri (dua dari kiri) merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Ber di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


Bera: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan beliau tidak akan tergesa-gesa untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana masih terdapat 'urusan belum selesai' termasuk mengemudi negara keluar daripada krisis pandemik Covid-19 dan menjamin kestabilan politik.

Naib Presiden Umno itu berkata, beliau tidak berniat untuk menangguhkan pilihan raya supaya dapat kekal memegang kuasa sebagai Perdana Menteri tetapi mempunyai tanggungjawab besar untuk melihat keperluan rakyat pelbagai kaum termasuk isu ekonomi dan kesihatan yang tinggal di kawasan luar bandar terbela.

"Kita (Umno) perlu bersiap sedia untuk memastikan kemenangan... pergi berperang dengan tidak bersedia sudah tentu akan mendatangkan masalah.

"Adakah kita benar-benar bersedia untuk menghadapi PRU15... sebab itu saya kata kita perlu bersabar," katanya.

Ismail Sabri berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini tidak boleh dijadikan sebagai penanda aras bagi kemenangan BN di seluruh negara dalam PRU-15.

Katanya, ini kerana undi popular BN dalam PRN Melaka hanya meningkat 0.88 peratus dan hanya kira-kira 65 peratus pengundi keluar mengundi serta ramai penyokong parti lain tidak keluar pada hari mengundi.

"Saya kata PRN Melaka tidak boleh menjadi model (PRU-15), kita jaga kita, orang Bera jaga di Bera, orang negeri Kedah, Kelantan, Perak, Terengganu dan seluruh Malaysia memang tidak akan turun ke tempat lain (masa PRU-15).

"Jadi bukanlah sesuatu yang mudah untuk mengatakan kerana Melaka itu menang maka seluruh Malaysia kita akan menang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Bera, di sini, hari ini.

Menurutnya, walaupun kes Covid-19 semakin menurun berbanding di awal pelantikannya sebagai Perdana Menteri dan ekonomi negara juga dilihat semakin pulih, tugas itu masih belum berjaya dilunaskan dengan sepenuhnya.

"Saya perlu sokongan daripada parti untuk menaikkan semangat saya untuk perjuangan. Isu terbesar adalah isu rakyat dan bukan politiking yang tak habis-habis.

"Kes memang semakin menurun tapi masih di sekitar 4,000. Jangan ingat kita sudah bebas sepenuhnya dari Covid-19 dan tanggungjawab saya masih lagi besar dan perlu saya lakukan," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 4:18 PM