Kolej Matrikulasi Kuala Pilah.
Kolej Matrikulasi Kuala Pilah.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (TEMCO) di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS) Kuala Pilah, dekat sini, sudah ditamatkan, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Alam Sekitar, Kesihatan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, walaupun 45 kes positif Covid-19 direkodkan, keadaan di KMNS terkawal dan TEMCO tidak dilanjutkan.

Beliau berkata, semua penuntut berkaitan sudah menduduki peperiksaan secara bersemuka mulai hari ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"TEMCO di KMNS sudah ditamatkan semalam, namun Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) terus memantau perkembangan di situ.

"Setakat ini terdapat 31 kes positif aktif manakala 14 orang sudah discaj.

"PKD sudah membuat garis panduan untuk mengatasi masalah ini sehingga selesai peperiksaan," katanya selepas melancarkan Pelaksanaan Skim Harga Kawalan Maksimum Keluarga Malaysia di Pasaraya Econsave Senawang, di sini, hari ini.

Terdahulu, TEMCO selama tujuh hari dilaksanakan di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan Kuala Pilah, bermula 1 Disember lalu.

Tindakan itu diambil susulan seramai 32 penuntut dan pensyarah KMNS dilaporkan positif Covid-19 daripada 565 saringan dilakukan.

Sementara itu, Veerapan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Repah berkata, pihaknya berharap penduduk Negeri Sembilan sentiasa mengamalkan SOP ditetapkan.

"Ketika ini terdapat laporan beberapa kes positif Covid-19 berlaku di taman perumahan sekitar daerah ini.

"Situasi itu membimbangkan dan orang ramai perlu memastikan SOP dipatuhi walaupun mereka sudah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 2:22 PM