DATUK Seri Hishammuddin Tun Hussein.
DATUK Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia menerusi enam aspirasi yang dijalankan kementerian itu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, enam aspirasi itu ialah memerangi Covid-19; mengawal sempadan negara; mengeratkan kerjasama antarabangsa; memenuhi keperluan kediaman anggota; membela kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan melaksanakan program jiwa murni.

Beliau berkata, kejayaan kementerian yang dicapai ialah seramai 25,902 penduduk di kawasan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak mendapat vaksin hasil usaha Pasukan Vaksinasi Perubatan Kombat (CMVT).

"Dalam hal ini, saya lihat saudara saudari terpaksa menempuhi perjalanan sukar untuk masuk ke kawasan pedalaman bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) memberi vaksin. Alhamdulillah, hasil usaha pasukan itu, penduduk terbabit dapat divaksinasi.

"Dalam tempoh tidak sampai dua bulan pula, 14,097 remaja menerima vaksinasi lengkap hasil daripada inisiatif vaksinasi pandu lalu, manakala Operasi Benteng setakat Selasa lalu, seramai 17,023 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditangkap.

"Berkaitan pengoperasian hospital medan, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sendiri memaklumkan kepada saya pembabitan pasukan perubatan Kor Kesihatan Diraja menerusi hospital medan membolehkan kita banyak membantu KKM merawat ribuan pesakit Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari Pertama Pentadbiran Menteri Kanan Pertahanan di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, sebanyak 107 projek dilaksanakan membabitkan program itu pada tahun ini dengan setiap daripadanya disempurnakan hasil kerja keras anggota Rejimen Jurutera Diraja.

Menurutnya, ketangkasan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga harus dipuji selepas melakukan 21 penerbangan bantuan bagi membawa peralatan perubatan Covid-19 khususnya ke Sabah dan Sarawak, selain kawasan Semenanjung.

"Daripada sudut perumahan untuk 100 hari pertama ini, matlamat kita adalah menyediakan sekurang-kurangnya 2,000 unit kediaman baharu dan ia dapat direalisasikan menerusi pelancaran 2,000 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Bukit Jalil oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) pada 3 November lalu.

"Ketika ini, kementerian turut merancang untuk membina 28,033 unit RKMAT di seluruh negara antara 2021 hingga 2030. Jumlah ini termasuk 8,852 unit RKMAT seperti diumumkan Perdana Menteri menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)," katanya.

Selain itu, Hishammuddin berkata, pihaknya menyediakan 25,600 bakul makanan bagi meringankan beban veteran tentera yang terkesan dengan wabak Covid-19.

"Pendekatan Diplomasi Pertahanan juga diperkukuh dalam 100 hari ini termasuk Mesyuarat Menteri Pertahanan Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) Ke-11, Mesyuarat Menteri Pertahanan Asean,

Dialog Manama.

"Selain itu, ia termasuk komunikasi dua hala berterusan saya dengan rakan sejawat di seluruh dunia termasuk Brunei, Australia, Singapura, China, Indonesia, Kemboja, Filipina, United Kingdom, Amerika Syarikat, Arab Saudi dan semalam dengan Perancis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 1:50 PM