Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Ahmad Hasbi

Seremban: Wanita yang melahirkan bayi secara pembedahan kerana berada dalam keadaan koma, Jahidah Nordin, 43, terpaksa menjalani pembedahan kedua selepas luka ketika bersalin minggu lalu dijangkiti kuman.

Adiknya, Fazariah, 38, doktor memaklumkan kepada keluarganya pada malam Rabu lalu supaya pembedahan dilakukan dengan segera bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

"Doktor beritahu luka pembedahan kakak nampak kemerahan dan mereka mahu tengok sejauh mana keadaannya.

"Apa yang merisaukan keluarga kerana ketika ini kakak demam. Tapi setakat dimaklumkan sebelum ini keadaannya dia stabil," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, doktor memaklumkan pembedahan sedang dijalankan pagi ini dan ia mengambil masa kira-kira satu jam dan dalam masa sama Fazariah memohon orang ramai supaya mendoakan proses pembedahan Jahidah dipermudahkan.

Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban di sini, secara pembedahan pada 30 November lalu.

Harian Metro pada Mei lalu melaporkan penjawat awam berusia 43 tahun yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Johor dilaporkan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bharu, Johor selepas dipercayai dicederakan suaminya pada 4 Mei lalu.

Berita berkaitan

Jahidah selamat lahirkan bayi lelaki

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 11:11 AM