BOT nelayan asing yang ditahan bersama 50 kilogram gamat. FOTO ihsan Maritim Malaysia
BOT nelayan asing yang ditahan bersama 50 kilogram gamat. FOTO ihsan Maritim Malaysia
Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menyekat hasil laut daripada lolos ke negara jiran apabila menahan bot nelayan asing yang mencuri gamat di perairan negara, semalam.

Maritim Malaysia menahan bot itu selepas tiga jam mengejar pada jarak 41.2 batu nautika dari muara Tok Bali dan enam batu nautika dari sempadan Thailand.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, tangkapan dibuat Kapal Maritim (KM) Jujur dan bot ronda Maritim yang sedang menjalankan Op Khas Kuda Laut, Op Khas Naga Barat dan Op Damai.

Katanya, pihaknya merampas 50 kilogram gamat, peralatan menangguk gamat, diesel sebanyak 1,000 liter dan bot dengan jumlah keseluruhan RM400,000.

"Kita mengesan satu bot nelayan berwarna hijau pada jam 6.50 petang dalam keadaan mencurigakan pada jarak 8.9 batu nautika dari sempadan Thailand.

"Menyedari diekori, mereka melarikan diri namun selepas tiga jam, kita berjaya menahan bot itu pada jam 10.40 malam," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Katanya, pemeriksaan mendapati bot dinaiki lima kru termasuk tekong warga Vietnam berusia antara 17 hingga 34 tahun.

"Mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan tekong juga gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti perikanan di perairan Malaysia," katanya.

Beliau berkata, bot dan kesemua mereka yang ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Negeri Kelantan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dan Seksyen 16(3) akta sama.

"Mereka juga boleh dihukum mengikut Seksyen 25(a) iaitu hukuman denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600 ribu ke atas setiap kru.

"Bot dan peralatan menangkap ikan juga boleh dilucut hak kepada kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 10:16 PM