MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad. FOTO arkib NSTP
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad. FOTO arkib NSTP
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini merujuk kes pelakon yang melakonkan watak gay kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata, Jakim memandang serius isu berkenaan yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat Keluarga Malaysia khususnya umat Islam.

Katanya, Jakim berharap kepada pihak yang terbabit agar sensitif dengan nilai dan budaya masyarakat di negara ini dan tidak bertindak di luar batas dengan nilai ketimuran yang dibudayakan sejak sekian lama dengan aman dan harmoni.

"Jakim juga menasihatkan agar masyarakat di luar sana dapat bertenang dan menyerahkan isu ini kepada pihak berkuasa untuk menyiasat serta diambil tindakan sewajarnya," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Kenyataan Idris merujuk mengenai seorang pelakon lelaki yang melakonkan babak romantik bersama pelakon lain dalam sebuah siri drama yang disiarkan sebuah stesen televisyen baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 9:34 PM