LOKASI kejadian motosikal dinaiki dua rakan baik terbabas sebelum seorang daripadanya maut. FOTO ihsan polis
LOKASI kejadian motosikal dinaiki dua rakan baik terbabas sebelum seorang daripadanya maut. FOTO ihsan polis
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


Teluk Intan: Pelajar lelaki maut manakala rakan baiknya parah selepas motosikal mereka terbabas sebelum melanggar tiang elektrik di Kilometer 7 Jalan Maharajalela, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 1.50 tengah hari.

Menurutnya, kedua-dua pelajar berusia 16 tahun berkenaan menaiki motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah mereka.

"Motosikal dinaiki dua remaja terbabit terbabas ke kiri jalan lalu melanggar tiang elektrik.

"Kemalangan menyebabkan penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng parah di muka," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Katanya, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan untuk proses lanjut dan rakan mangsa juga masih dirawat di hospital sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 8:53 PM