Ahmad Hasbi

Seremban: Peguam Negara dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berperanan penting memperkasakan Perkara 160 Perlembagaan Malaysia terutama berkaitan adat dan istiadat Melayu.

Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim mengusulkan supaya artikel yang semakin dilupakan itu sepatutnya dijadikan salah satu silibus dalam mata pelajaran di peringkat sekolah.

"Saya hairan kenapa Perkara 160 itu tidak diberi perhatian oleh pihak berkuasa sekali gus saya cadangkan supaya peguam negara menasihatkan kerajaan tentang adanya peruntukan ini.

"Perdana Menteri atau Menteri Pendidikan perlu mengambil berat mengenai kelompongan dalam perlembagaan kita," katanya tadi.

Terdahulu beliau menghadiri Kolokium Antirasuah Adat Perpatih Melingkari Hidup Berintegriti yang turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di Auditorium D'Sury Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), di sini, tadi.

Dr Rais Yatim ketika berucap pada Kolokium Antirasuah di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Dr Rais Yatim ketika berucap pada Kolokium Antirasuah di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Rais berkata, adat yang membina sesebuah tamadun, namun sistem pemerintahan di negara ini tidak berasaskan kepada diplomasi adat.

"Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan sampai ke atas ini memang sibuk. Tapi tanggungjawab perlembagaan wajib ditunaikan.

"Sebaiknya Peguam Negara atau pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan menasihatkan beliau (Perdana Menteri) seperti mana kita menasihatkan beliau berhubung bahasa Kebangsaan dan baju batik," katanya.

Selain itu beliau turut meminta kerajaan Negeri Sembilan supaya memberi penekanan kepada artikel 16 yang menekankan Negeri Sembilan sebagai negeri beradat.

Malah beliau turut memohon kerajaan Negeri Sembilan memberi penekanan terhadap Adat Perpatih supaya ia berbaloi untuk digelar sebagai negeri beradat.

Dalam perkembangan lain Rais yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) memohon Dewan Negara mengambil berat berhubung isu rasuah di negara ini.

"Jawatankuasa ditubuhkan di bawah Akta Pesuruhjaya Anti Rasuah Seksyen 14, di mana saya kendalikan tugas sebagai Pengerusi JKMR, akan kita aktifkan dalam kalangan ahli parlimen," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 8:10 PM