Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga ayam menjelang perayaan Krismas ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan sekiranya ada pihak menjual ayam melebihi harga Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang ditetapkan.

"Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini juga membenarkan import ayam daripada luar negara. Jadi, kita mengharapkan dengan jumlah ayam yang ditambah dalam pasaran maka harga ayam akan lebih rendah dapat dijual kepada pengguna," katanya.

Datuk Abdul Yunus Jamahri hadir sesi Walkabout dan Pemantauan Perlaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) Peringkat Negeri Perak di Pasaraya Econsave Bandar Seri Botani. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Datuk Abdul Yunus Jamahri hadir sesi Walkabout dan Pemantauan Perlaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) Peringkat Negeri Perak di Pasaraya Econsave Bandar Seri Botani. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemungkinan kenaikan harga ayam oleh peniaga sewaktu Krismas susulan penetapan harga ayam standard menerusi SHMKM mulai hari ini.

Abdul Yunus berkata, pihaknya setakat ini belum mendapat maklumat berhubung kemasukan ayam import ke Perak bagi musim perayaan Krismas ini.

"Di Perak, bagi perayaan Krismas kita belum mendapat maklumat bekalan ayam yang diimport itu akan dibawa masuk, bagaimanapun, kita akan memastikan bekalan ayam bertambah dan pada masa sama dapat mengawal harga ayam," katanya

Katanya, pihaknya juga tidak menerima sebarang aduan daripada pengguna berhubung kenaikan harga ayam, setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 8:08 PM