Penduduk setempat berada  di Tasik Taman Dengkil Jaya untuk melihat kelibat buaya   seperti yang tular di media sosial. FOTO SAMADI AHMAD
Penduduk setempat berada di Tasik Taman Dengkil Jaya untuk melihat kelibat buaya seperti yang tular di media sosial. FOTO SAMADI AHMAD
Samadi Ahmad


Putrajaya: Ramai tertipu apabila video memaparkan seekor buaya tembaga muncul Tasik Taman Dengkil Jaya di sini, semalam, sebaliknya dipercayai dirakam di Paya Indah Wetlands, Dengkil.

Video itu kemudian ditularkan di media sosial hingga mencetuskan gempar dan kebimbangan orang ramai.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) Selangor, Dennis Ten Choon Yung, berkata, pihaknya sudah memantau reptilia itu di tasik berkenaan sejak semalam, namun tidak mengesan lokasi padanan penemuan buaya berkenaan.

Menurutnya, anggota PERHILITAN turut melakukan pemantauan di sekitar tasik berkenaan dan tidak menemui buaya berkenaan.

"Sebaliknya kakitangan PERHILITAN di Paya Indah Wetlands berjaya mengesan padanan lokasi buaya seperti yang tular itu.

"Paya Indah Wetlands adalah kolam buaya di bawah pengawasan PERHILITAN. Melalui bukti itu, tugas pengesanan buaya di Tasik Dengkil Jaya ditamatkan semalam," katanya,

Tinjauan ke Tasik Taman Dengkil Jaya hari ini mendapati beberapa kakitangan PERHILITAN membuat pengesanan lokasi di sekitar tasik berkenaan bagi mencari bukti kehadiran buaya berkenaan.

Beberapa penduduk tempatan dilihat berada di tepi tasik itu untuk melihat kelibat buaya seperti yang tular di media sosial.

Kelmarin sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya dikejarkan ke tasik berkenaan bagi membuat pemantauan keselamatan selepas menerima panggilan daripada orang awam pada jam 8.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 7:20 PM