ANGGOTA bomba dipanggil untuk membantu mengangkat mayat wanita obes. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba dipanggil untuk membantu mengangkat mayat wanita obes. FOTO ihsan bomba
Ahmad Ismail.


Tangkak: Khidmat anggota bomba digunakan bagi membantu mengangkat mayat wanita obesiti di Kampung Baru 2 di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Tangkak, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Rafiah Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis bagi membantu mengangkat mayat pada jam 11.45 pagi.

"Wanita seberat kira-kira 200 kilogram (kg) itu disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tangkak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, sembilan anggota bomba dan polis membantu membawa mayat keluar dari kediamannya menggunakan pengusung.

"Wanita itu menetap bersama empat ahli keluarga di kediaman itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat berkata, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Daerah Tangkak (HDT) bagi bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 6:53 PM