GAMABR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMABR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang akan meneruskan inisiatif bas percuma menerusi langganan Pas Mutiara kepada 7,500 pelanggan secara bulanan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri akan menanggung kos langganan Pas Mutiara bernilai RM50 sebulan untuk pemegang pas terbabit.

Menurutnya, pembiayaan inisiatif membabitkan peruntukan sebanyak RM4.5 juta setahun itu, bakal berkuat kuasa bermula 1 Januari sehingga 31 Disember 2022.

"Kerajaan negeri akan menanggung pembiayaan perjalanan 7,500 pemegang pas yang terdahulu memperbaharui pas mereka pada setiap bulan. Kita mahu memastikan pengguna bas Rapid yang aktif mendapat manfaat daripada usaha ini.

"Pengguna yang melanggan Pas Mutiara sebelum ini boleh memperbaharui kad secara percuma, manakala pembelian kali pertama akan dikenakan bayaran RM10 iaitu RM5 bayaran kad dan RM5 untuk isian nilai," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Zairil berkata, inisiatif itu dilihat sebagai satu langkah proaktif untuk meringankan perbelanjaan harian pengguna yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk meneruskan perkhidmatan Bas Percuma CAT Bridge selama satu tahun bermula 1 Januari 2022 dengan menggunakan 10 buah bas serta jadual perjalanan seperti sedia kala.

"Susulan daripada tajaan Pas Mutiara ini, kerajaan negeri tidak lagi membiayai perkhidmatan Bas Percuma CAT Seberang Jaya, namun perkhidmatan itu akan kekal beroperasi sebagai laluan biasa dan percuma untuk pengguna Pas Mutiara," katanya.

Katanya, kedua-dua inisiatif iaitu Pas Mutiara dan Bas Percuma CAT Bridge berupaya menjadi pemangkin untuk menarik lebih ramai penduduk Pulau Pinang beralih menggunakan pengangkutan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 6:17 PM