Nur Shafiyyah Hajatul Razli. FOTO IZAD THAQIF HASSAN
Nur Shafiyyah Hajatul Razli. FOTO IZAD THAQIF HASSAN
Izad Thaqif Hasan


Kulim: Usianya baru empat bulan, namun penderitaan terpaksa ditanggung amat berat buat bayi perempuan apabila menghidap pelbagai komplikasi penyakit sejak dilahirkan.

Ini berikutan anak bongsu daripada enam beradik, Nur Shafiyyah Hajatul Razli disahkan menghidap Diabetic Embryopathy yang menyebabkan keabnormalam pada otak, sistem gastrik serta tulang, jantung dan saluran renal.

Selain itu, bayi berkenaan turut menerima ujian berat apabila dikesan mengalami masalah lebihan cecair dalam otak serta kecacatan pada telinga dan kaki yang tidak dapat dibengkok kerana saiznya yang kecil.

Dalam usia belum mengenal erti kehidupan, bayi berkenaan hanya mampu merengek serta menangis setiap kali lapar atau menahan kesakitan.

Bagi mendapatkan rawatan susulan, doktor menyarankan Nur Shafiyyah Hajarul membuat pemeriksaan bulanan di Hospital Pulau Pinang (HPP), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan Hospital Kulim.

Namun, untuk berulang-alik ke semua hospital terbabit bukan sesuatu yang mudah kerana setiap perjalanan memerlukan perbelanjaan apatah lagi kenderaan yang digunakan pernah mengalami kerosakan.

Bagi ibu bapa kepada bayi terbabit, Noorazlinawati Hashim, 39, dan Razli Abdul Hamid, 51, biarpun pelbagai dugaan terpaksa ditempuh, mereka perlu tabah menghadapinya.

Noorazlinawati berkata, gaji suaminya sebagai pemandu lori tidak mencukupi untuk menampung keperluan hidup mereka kerana turut mengeluarkan perbelanjaan untuk rawatan Nur Shafiyyah.

"Semua perbelanjaan bergantung kepada gaji suami serta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM500 sebulan dan jika diikutkan memang tidak mencukupi.

"Namun, apakan daya kerana semua ini adalah takdir dan kami anggap ia sebagai dugaan dan juga kurniaan daripada Tuhan yang memberikan anak istimewa untuk dijaga," katanya yang juga seorang suri rumah.

Menurutnya, dia melahirkan Nur Shafiyyah secara pembedahan di Hospital Kulim, namun bayinya yang dikesan mengalami ketulan di belakang kepala terpaksa dikejarkan ke HSB, Alor Setar untuk menjalani pembedahan segera.

"Sejak itu, anak saya terpaksa ditahan selama dua bulan (di HSB) dan doktor ada memberitahu supaya kami sekeluarga bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal dihadapi termasuk bayi meninggal dunia pada bila-bila masa.

"Bagaimanapun, selepas empat bulan Nur Shafiyyah masih bernafas, namun dia terpaksa menanggung pelbagai penyakit dan adakalanya saya sendiri tidak sanggup melihat penderitaan ditanggung anak," katanya yang tinggal di Kampung Pagar Museh, Karangan, dekat sini.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank 157081308826 atas nama Noorazlinawati Hashim atau menghubungi talian 013-4489378.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 5:55 PM