Datuk Seri Najib Razak. FOTO AZIAH AZMEE
Datuk Seri Najib Razak. FOTO AZIAH AZMEE
Murni Wan Omar


Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengetahui nasibnya esok sama ada dibebaskan atau sabitan dan hukuman dikekalkan atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Selepas melalui pelbagai kontroversi, Mahkamah Rayuan kekal menetapkan keputusan mengenainya akan dilakukan esok.

Keputusan akan disampaikan pada jam 9 pagi oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Ia bakal menyaksikan sama ada hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya dikekalkan atau digugurkan.

Pasukan pembelaan Najib yang diketuai peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sejak minggu lalu mengemukakan pelbagai permohonan dan alasan untuk menangguhkan keputusan yang bakal dibuat Mahkamah Rayuan itu.

Antaranya termasuk Najib baru pulang dari Singapura pada 5 Disember lalu dan diwajibkan untuk menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari, bagaimanapun ia ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

Permohonan itu dibuat kerana Najib selaku perayu berada di Singapura untuk melawat anak perempuannya Nooryana Najwa yang melahirkan anak kedua dan pulang pada 5 Disember lalu.

Pada 2 Disember lalu, Najib memfailkan permohonan untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau mendakwa terdapat pembabitan keluarga bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Bukti baharu yang dipohon oleh Najib untuk dimasukkan bagi tujuan rayuannya ialah keterangan lisan bekas Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki, pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussein dan keterangan saksi lain atau apa-apa keterangan tambahan lanjut yang berbangkit.

Pendakwaan bagaimanapun dalam afidavit balasan terhadap permohonan Najib itu menyifatkan dakwaannya bahawa Zeti bekerjasama dengan Jho Low dalam rancangan jahat itu terhadapnya hanyalah sebagai andaian.

Mereka berkata, permohonan Najib itu adalah cubaan untuk melambatkan keputusan rayuan.

Hari ini, Mahkamah Rayuan memberi kata dua kepada Najib dan peguamnya supaya menghadiri prosiding membabitkan isu bukti baharu itu di mahkamah atau berdepan dengan tindakan wang jaminan dibatalkan dan beliau dikenakan waran tangkap.

Ia berikutan peguam Harvinder Singh Sidhu memohon prosiding hari ini (pendengaran bagi isu bukti baharu) dan esok (keputusan) ditangguhkan berikutan salah seorang peguam, Muhammad Farhan yang juga anak Muhamamd Shafee disahkan positif Covid-19 manakala seluruh pasukan peguam menjadi kontak kasual.

Abdul Karim bagaimanapun memutuskan untuk mendengar permohonan terbabit secara dalam talian dan menetapkan meneruskan prosiding keputusan rayuan Najib yang sebelum itu sudah ditetapkan esok.

Dalam keputusan hari ini, permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu bagi rayuan kes SRC itu ditolak.

Najib, 68, sebelum ini didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana SRC International oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan CBT dan tiga kes pengubahan wang haram serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Najib dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta berserta dua penjamin sementara menunggu rayuan kes itu selesai.

Rayuan terhadap sabitan dan hukuman itu didengar di Mahkamah Rayuan, Putrajaya bermula 5 hingga 8 April, 12 hingga 15 April dan 19 hingga 22 April dan atas permohonan pembelaan, panel memutuskan melanjutkan prosiding dari 27 hingga 28 April serta 18 Mei lalu.

Najib memfailkan notis rayuannya pada 30 Julai tahun lalu dengan mengemukakan 307 alasan kenapa dirinya tidak patut didapati bersalah terhadap kesemua tuduhan berkenaan.

Antara alasan dikemukakan Najib adalah Mohd Nazlan gagal menimbangkan Jho Low menipu dan memanipulasi akaun bank miliknya ketika mensabitkan beliau terhadap tujuh tuduhan terbabit.

Selain itu, beliau mendakwa Mohd Nazlan terkhilaf dalam fakta dan undang-undang melalui penemuannya bahawa pembabitan Jho Low dalam arahan pengeluaran dana dan keterangan lain yang menunjukkan kegunaan dana SRC untuk kepentingan lelaki itu termasuk RM42 juta iaitu perkara pokok dalam tuduhan, bukan keterangan yang memihak kepadanya.

Najib juga mendakwa mahkamah terkhilaf daripada segi fakta dan undang-undang apabila mendapati beliau ada kepentingan dalam SRC dan membuat dapatan bahawa dana RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun beliau adalah milik SRC serta gagal menghargai bahawa ia datang daripada Ihsan Perdana Sdn Bhd yang tidak diperincikan dalam kertas tuduhan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram dalam hujahnya berkata, Ahli Lembaga Pengarah SRC hanyalah boneka yang melaksanakan arahan Najib, selaku tuan boneka.

Menurutnya, Najib juga sebenarnya ejen dan Pengarah SRC serta hanya bertindak demi kepentingan peribadinya.

Sithambaram turut berhujah bahawa Najib mempunyai kedudukan yang unik di SRC sejak penubuhannya sehingga ia ditukarkan sebagai syarikat bawah Menteri Kewangan Diperbadan (MOF Inc).

Katanya, perkara itu jelas menunjukkan Najib bukan bertindak atas kapasiti rasmi iaitu sebagai mekanisma kerajaan.

Menurutnya, penubuhan SRC tiada kena mengena dengan kepentingan negara tetapi sebaliknya disengajakan dan rancangan yang dibuat dengan perhitungan teliti oleh Najib untuk manfaat peribadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 5:40 PM