GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kerajaan terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu menjelaskan kekeliruan ramai mengenai vaksinasi bahawa tujuan asalnya adalah mengurangkan komplikasi jika dijangkiti bukannya menghentikan jangkitan.

Pakar Kesihatan Pekerjaan dan Kesihatan Am Dr Hanafiah Bashirun berkata, kesilapan disebabkan silap faham dan salah konsep itu menyebabkan ramai culas tidak mengawal kendiri dengan prosedur operasi standard (SOP).

"Memang ya kena menggalakkan vaksin tetapi pemahaman daripada KKM sampaikan seolah-olah ialah apabila divaksin, orang itu seolah-olah kebal atau pun imun dan tak boleh dijangkiti...itu pemahaman yang salah.

"Konsep asal divaksinkan ialah individu itu mempunyai antibodi yang lebih tinggi untuk melawan jangkitan Covid-19.

"Tujuannya ialah mengurangkan komplikasi kalau kena jangkitan. Kena jangkitan masih possible (boleh) tetapi komplikasi itulah yang kita nak kurangkan. Itu tujuannya. Vaksin tidak menghentikan jangkitan," katanya.

Beliau mengulas mengenai kes harian Covid-19 yang masih statik lingkungan 4,000 ke 5,000 kes dan punca sukar turun walaupun kadar vaksinasi di negara ini adalah tinggi iaitu 97 peratus dewasa dan 86.6 peratus remaja lengkap divaksin.

Dr Hanafiah juga melahirkan kebimbangan dengan perkumpulan ramai di lokasi dan majlis tertentu selepas pelbagai sektor dibuka semula.

"Contoh pergerakan yang saya risau ialah berkumpul di tempat ramai seperti lapangan terbang, jeti dan baru-baru ini stadium bola sepak.

"Perkara beginilah yang menjadikan potensi atau pun risiko jangkitan itu lebih tinggi kalau berbanding dengan kita duduk di rumah, tempat yang lengang dan sebagainya.

"Dalam keadaan sekarang, nak menurunkan hingga tiga angka memang lambat dan susah. Orang teruja nak keluar rumah sebab dah lama tak keluar. Inilah yang mencetuskan macam mana mudahnya Covid-19 itu untuk merebak," katanya.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, hakikatnya perlu diakui ramai adalah jangkitan Covid-19 masih berlaku.

Beliau turut menegaskan vaksin tidak menghentikan jangkitan tetapi mengurangkan penyakit teruk dan kemasukan ke hospital.

"Ini akan berterusan. Justeru, kerana itu perlu liputan vaksinasi untuk kanak-kanak dan pemberian dos penggalak ditingkatkan.

"Secara teknikalnya adalah mustahil untuk menjadikan kes sehingga sifar atau tiada kes lagi. "Sekarang kita sudah mula hidup bersama Covid-19. Kes (ada) tak apa asalkan tiada yang teruk. Tetapi kena juga jaga SOP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 4:22 PM