YANG Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim (kanan) ditemani Azam (kiri) ketika hadir pada Kolokium Antirasuah di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
YANG Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim (kanan) ditemani Azam (kiri) ketika hadir pada Kolokium Antirasuah di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Ahmad Hasbi


Seremban: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum menerima maklumat lanjut mengenai dakwaan kewujudan kartel dalam Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membabitkan pegawai pelbagai peringkat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dakwaan itu mungkin wujud hasil siasatan dalaman JIM dan laporannya belum sampai ke tangan SPRM setakat ini.

"Kenyataan yang disebutkan oleh menteri itu saya belum ada butiran lagi. Kenyataan ini mungkin timbul hasil siasatan dalaman atau perkara dalaman imigresen.

"Sehingga kini saya belum dapat lagi maklumat kartel yang dimaksudkan oleh menteri itu," katanya pada sidang media sejurus menghadiri Kolokium Antirasuah Adat Perpatih Melingkari Hidup Berintegiriti, di sini, hari ini.

Azam berkata, jika maklumat berkenaan disalurkan kepada SPRM, pihaknya akan meneliti sama ada ia di bawah bidang kuasa agensi itu atau sebaliknya.

"Jadi kalau SPRM ada perkembangan daripada pihak imigresen, kita akan lihat sama ada ia di bawah bidang kuasa kami ataupun tidak.

"Saya belum pasti lagi maklumat yang mengatakan sama ada broker atau orang tengah. Yang disebutkan itu adakah ada kaitan dengan rasuah atau tidak dan adakah ia menjangkau masuk ke pegawai kerajaan dalam imigresen," katanya.

Pada 1 Disember lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan ada menerima laporan berhubung kewujudan kartel dalam JIM membabitkan pegawai pelbagai peringkat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilaporkan berkata, pembabitan kartel itu bukan saja berkaitan urusan kenaikan pangkat malah turut dikatakan menggunakan pegawai JIM untuk kepentingan mereka.

Menurutnya, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Jonathan Yasin ada memaklumkan di Sabah terdapat iklan yang menawarkan perkhidmatan pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan ia tidak sepatutnya berlaku kerana JIM tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk sebarang urusan imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 4:15 PM