Norlizawati membantu suaminya untuk makan ubat. Foto Ihsan Nor Fatihah Mohd Sabri
Norlizawati membantu suaminya untuk makan ubat. Foto Ihsan Nor Fatihah Mohd Sabri
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Peniaga gerai makan hilang mata pencarian apabila tidak mampu berdiri dalam tempoh lama akibat masalah cakera tulang belakang teranjak (slipped disc) dan penyakit kencing manis sejak tiga bulan lalu.

Mohd Sabri Abdul Majid, 52, dari Jalan Langgar, di sini, berkata dia juga hanya mampu berjalan beberapa langkah dalam rumah menggunakan tongkat selain dibantu isteri Norlizawati Hamzah, 46, untuk menguruskan diri.

Menurutnya, keadaan bertambah teruk apabila kaki kirinya turut luka dan berkudis akibat penyakit kencing manis.

"Pada Ogos lalu, saya masih mampu berniaga pada sebelah malam, namun merasai kesakitan pada tulang belakang.

"Menjadi kebiasaan saya akan berdiri lama kerana turut memasak, dan lama-kelamaan sakit belakang semakin teruk sehinggalah saya terpaksa berhenti berniaga pada September lalu dan disahkan mengidap slipped disc," katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, selepas kehilangan sumber pendapatan, dia kini bergantung kepada duit simpanan yang juga semakin susut.

Katanya, isterinya pula terpaksa menggadaikan barang kemas untuk membeli barang keperluanharian dan peralatan untuk mencuci luka di kakinya.

"Ketika berniaga dahulu pendapatan bersih saya kira-kira RM50 sehari, namun disebabkan pandemik Covid-19, gerai saya tidak beroperasi sepenuhnya akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Anak sulung, Nor Fatihah, 24, pula turut disahkan mengidap kanser usus kecil tahap empat pada Disember 2019 ketika sedang belajar di Rusia dalam bidang kejuruteraan.

"Dia sudah menjalani pembedahan di sana dengan dibiayai Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebelum pulang untuk menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

"Alhamdulillah, keadaannya semakin baik dan hanya perlu menjalani rawatan susulan setiap tiga bulan di hospital berkenaan selain baru saja tamat pengajiannya secara dalam talian," katanya.

Katanya, dia kini hanya mengharapkan ihsan saudara-mara dan kenalan untuk kelangsungan hidup dan dijadual melakukan pembedahan pada 19 Disember ini sekiranya keadaan luka di kakinya bertambah baik.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan ke akaun BSN 0212229000033886 atas nama Mohd Sabri Abdul Majid atau menghubunginya di talian 012-5438284.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 1:39 PM