KANAK-KANAK lelaki ditemukan lemas di paya di Kampung Gong Beris. FOTO ihsan Polis
KANAK-KANAK lelaki ditemukan lemas di paya di Kampung Gong Beris. FOTO ihsan Polis
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang semalam ditemukan lemas di paya di Kampung Gong Beris, Pulau Kerengga di sini, hari ini.

Mayat mangsa, Muhammad Syafiq Abdullah, 6, ditemui 500 meter dari rumahnya dalam keadaan terapung di dalam paya, kira-kira 8 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan daripada ibu mangsa, 34, berhubungan ketiadaan anaknya di rumah, kira-kira 6 petang semalam.

Beliau berkata, ibu mangsa pada mulanya menyangka anaknya keluar bermain namun berasa tidak sedap hati kerana anaknya tidak pulang ke rumah seperti biasa.

"Mangsa biasanya akan pulang rumah pada waktu senja namun sehingga 8 malam tadi, mangsa masih belum pulang sebelum wanita terbabit meminta adik lelaki dan orang kampung mencari anaknya.

"Bagaimanapun, usaha mencari mangsa di kawasan parit, paya dan lombong berhampiran rumah mereka masih menemui jalan buntu dengan kali terakhir ibu mangsa melihat anaknya pada 4 petang semalam sebelum laporan polis dibuat.

"Siasatan awal mendapati mangsa kerap keluar bermain berseorangan di sekitar kampung berkenaan dan akan pulang ke rumah pada waktu senja," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Zain berkata, susulan laporan diterima, gerakan mencari mangsa dijalankan malam tadi di lokasi mangsa sering bermain namun gagal memandangkan kawasan pencarian yang gelap menyukarkan pencarian.

"Tiada sebarang kecederaan ditemui pada badan mangsa sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 1:26 PM