Buaya yang dipercayai tersesat di tasik Taman Dengkil Jaya. FOTO ihsan JBPM
Buaya yang dipercayai tersesat di tasik Taman Dengkil Jaya. FOTO ihsan JBPM
Samadi Ahmad
am@hmetro.com.my


Putrajaya: Penduduk sekitar Taman Dengkil Jaya, Dengkil dekat sini dinasihatkan tidak membuat sebarang aktiviti air selepas seekor buaya dewasa dilihat berenang di dalam tasik di taman perumahan itu, lewat petang tadi.

Reptilia ganas sepanjang 2.1 meter itu dipercayai tersesat dari sungai berdekatan.

Jurucakap bomba berkata, sepasukan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan daripada orang awam pada 8.30 malam tadi.

Menurutnya, bomba tiba di lokasi 15 minit kemudian dan mendapati buaya itu masih berada dalam tasik berkenaan.

Katanya, pihaknya tidak melakukan kerja penangkapan sebaliknya memasang sawar-sawar dan tanda amaran keselamatan di tasik berkenaan.

"Penduduk dinasihatkan supaya tidak menghampiri dan menjalankan aktiviti berhampiran tasik.

"Operasi seterusnya diserahkan kepada pejabat Perhilitan Hulu Langat untuk tindakan lanjut ke atas reptilia berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 11:55 PM