Datuk Seri Najib Razak. FOTO NSTP
Datuk Seri Najib Razak. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pendakwaan dalam kes rasuah Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan SRC International Sdn Bhd membantah permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuannya dan menyifatkan ia sebagai usaha bagi melengahkan keputusan mahkamah dalam kes itu, yang dijadual diumumkan pada Rabu ini.

Menerusi afidavit jawapan yang dikeluarkan kepada media, Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed berkata semua bukti telah dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Rayuan untuk memutuskan rayuan Najib, justeru tidak terdapat lagi bukti tambahan yang berkaitan diperlukan bagi melupuskan kes itu dengan seadil-adilnya.

"Pendakwaan berhujah permohonan ini adalah bagi melengah-lengahkan keputusan rayuan (bagi kes pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan) dengan membuka semula keseluruhan kes seperti yang dapat dilihat dalam perintah yang dipohon.

"Saya menafikan bahawa pendakwaan telah menyembunyikan sebarang fakta yang relevan berhubung pertuduhan semasa perbicaraan atau proses rayuan di hadapan Mahkamah Rayuan.

"Malah bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz telah ditawarkan kepada pembelaan di akhir kes pendakwaan. Bagaimanapun, pemohon (Najib) telah memilih untuk tidak memanggil atau menemu bual Zeti bagi tujuan memanggilnya sebagai saksi untuk membuktikan kes pembelaan," katanya.

Beliau juga berhujah Najib boleh membuat permohonan itu pada Januari tahun ini kerana pada Disember 2020, mereka sudah tahu mengenai isu akuan berkanun yang dibuat oleh suami Zeti iaitu Datuk Dr Tawfiq Ayman dan dua anak lelaki mereka.

"Tidak ada akuan berkanun yang dibuat oleh Zeti berkaitan perkara ini. Pemohon boleh membuat permohonan ini pada Januari lalu sebelum pendengaran rayuan bermula pada 5 April.

"Bagaimanapun, Najib mengambil masa selama 11 bulan dan beberapa hari sebelum Mahkamah Rayuan dijadual membuat keputusan berhubung rayuannya untuk memfailkan permohonan ini. Ini merupakan satu tindakan untuk melengah-lengahkan yang disengajakan dan ketidakrelevanan bukti yang kononnya baharu menunjukkan bahawa ini adalah satu permohonan yang berniat jahat," katanya.

Budiman juga berhujah perkara yang dipohon tidak mempunyai kaitan dengan rayuan dan tidak terdapat hubungan antara bukti tambahan yang dipohon dengan pertuduhan terhadap Najib.

Mengenai isu hubungan yang sudah lama wujud antara Zeti dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, beliau berkata jika dipertimbang secara kumulatif, tiada keterangan yang konklusif bagi membuktikan bahawa hubungan kedua-duanya sudah lama terjalin.

"Keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan dan diakui sendiri oleh Najib pada perbicaraan kes itu menunjukkan bahawa Jho Low, Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC) dan Allahyarham Datuk Seri Azlin Alias (bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib) telah bertindak atas arahan beliau berhubung isu membabitkan akaun banknya.

"Pendakwaan turut membuktikan Najib tahu bahawa RM42 juta yang telah didepositkan ke dalam akaunnya adalah daripada SRC dan bukan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Isu sama ada Tawfiq, Aliff dan Abdul Aziz telah menerima wang daripada 1MDB tidak mempunyai kaitan dengan perkara pokok dalam rayuan, yang membabitkan dana SRC dalam akaun bank peribadi Najib," katanya.

Beliau berkata pendakwaan tidak menyembunyikan bukti yang memihak kepada pembelaan kerana bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, dan selepas itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, memaklumkan bahawa isu itu adalah berkaitan dengan 1MDB dan bukan perkara pokok dalam rayuan berkenaan.

"Selain itu, Thomas dan menteri terbabit menyatakan bahawa kita perlu menunggu siasatan ke atas kes Zeti selesai," katanya sambil menambah bahawa dana yang diperoleh kembali daripada Nik Faisal dan Tawfiq adalah berkaitan dengan 1MDB serta tidak mempunyai kaitan dengan dana SRC.

"Penerimaan dana 1MDB oleh Nik Faisal adalah tidak relevan kepada kes SRC. Pendakwaan telah membuktikan bahawa pengetahuan Najib mengenai dana SRC dalam akaunnya yang menyebabkan berlaku perbuatan bagi kesalahan yang didakwa.

"Hanya Najib dan bukan Jho Low, Nik Faisal atau Azlin, telah mendapat manfaat daripada RM42 juta dana SRC sebagaimana yang diputuskan oleh mahkamah yang mendengar perbicaraan kes itu," katanya sambil menambah bahawa atas semua alasan ini, beliau meminta mahkamah supaya menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu pada peringkat ini.

Difailkan pada 1 Disember lalu, Najib memohon Mahkamah Rayuan membenarkan dan mengarahkan supaya keterangan viva voce (lisan) diambil daripada bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki, Pegawai Penyiasat SPRM Rosli Hussein, yang merupakan saksi pendakwaan ke-57 dalam kes SRC dan keterangan saksi lain atau apa-apa keterangan tambahan lanjut yang berbangkit.

Najib, 68, berkata beliau membuat permohonan itu susulan siaran akhbar oleh SPRM pada 19 November lalu berhubung aset dana 1MDB antaranya dari Singapura yang menyaksikan kerajaan republik itu telah memulangkan sejumlah AS$15.4 juta kepada Malaysia berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd (CEIL) milik Tawfiq.

Mahkamah akan mendengar hujah berhubung permohonan Najib itu esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 10:44 PM