Sri Ayu Kartika Amri


Kepong: Dakwaan mengenai jumlah pampasan yang diterima penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Baru kurang daripada RM250,000 adalah tidak benar.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pampasan sebenar adalah lebih tinggi daripada nilai itu.

Menurutnya, fakta diceritakan tidak tepat dan mengenai pampasan diterima sebenarnya adalah lebih tinggi namun akan dimaklumkan selepas penduduk dipertemukan dengan pemaju dalam pertemuan kedua nanti.

"Pampasan sebenar adalah lebih tinggi daripada nilai itu dan kita akan maklumkan kepada penduduk selepas mereka bertemu dengan pemaju dalam satu pertemuan yang akan diatur dalam minggu ini.

"Jika penduduk tidak puas hati boleh berjumpa dengan saya bukan bercerita di media sosial. Ia tidak dapat menyelesaikan masalah," katanya pada media selepas majlis penyerahan ShopeePay Push Cart kepada 31 penjaja di Taman Metropolitan Kepong di sini, hari ini.

Shahidan berkata, kira-kira 68 peratus penduduk Flat PKNS itu sudah menandatangani persetujuan berkenaan projek pembangunan kawasan itu.

Katanya, bagi kawasan rumah teres pula, pihaknya masih dalam proses mendapatkan maklumat yang tepat.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya sudah meminta proses pendengaran kedua ditangguhkan bagi membolehkannya bertemu dengan semua pihak.

"Saya baru menyandang jawatan Menteri Wilayah dan akan selesaikan masalah ini dengan terbaik. Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan," katanya.

Sabtu lalu, sekumpulan penduduk rumah flat PKNS, Kampung Sungai Baru menyuarakan bantahan berhubung isu pampasan rendah yang diterima.

Isu Kampung Baru hangat diperkatakan semula apabila kira-kira 20 penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Baru diarahkan untuk mengosongkan unit mereka.

Penduduk Kampung Baru yang terbabit mula berkumpul dan menyuarakan ketidakpuasan hati mereka kepada umum selain meminta kerajaan untuk campur tangan kerana pampasan yang diberikan sebanyak RM250,000 atau RM400 sekaki persegi terlalu rendah.

Bagi mereka dengan pampasan sebanyak itu didakwa sukar untuk mendapatkan rumah berharga RM250,000 di Kuala Lumpur, apatah lagi ramai yang menganggap tindakan itu membebankan kerana usia mereka selain tidak bekerja untuk memulakan hidup baru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 10:11 PM