GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Isu ketiadaan bekalan air bersih kawasan luar bandar di Sabah memaksa penduduknya menggunakan sungai sebagai sumber air sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko kehilangan nyawa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir, mendedahkan ada penduduk hilang nyawa kerana mandi atau mengambil air di sungai kerana dibaham buaya, selain lemas.

Beliau berkata, kes itu berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik yang diwakilinya, khususnya di daerah Kalabakan berpunca daripada ketiadaan bekalan air paip untuk kemudahan penduduk.

"Masalah ketiadaan bekalan air, bukan setakat masalah kegagalan kita tetapi bagi rakyat di DUN Sebatik ia membabitkan kehilangan nyawa.

"Disebabkan ketiadaan air, penduduk terpaksa turun untuk mandi di sungai yang mendedahkan mereka kepada risiko lemas dan serangan maut buaya.

"Dalam tahun ini saja dua orang menjadi mangsa (dibaham buaya) iaitu masing-masing di Kampung Brantian dan Kampung Serudung Laut," katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2022 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Masalah bekalan air adalah antara isu kemudahan asas yang menjadi antara perkara yang sering dibangkitkan pada setiap kali Persidangan DUN Sabah, selain isu jalan raya dan telekomunikasi.

Hassan berkata, semua wakil rakyat mempunyai tanggungjawab untuk membantu mengatasi masalah bekalan air bagi memastikan rakyat tidak terus berdepan risiko keselamatan bagi mendapatkan air.

"Benar ajal maut ketentuan tuhan tetapi ini cerita orang dibaham buaya kerana tiada air di rumahnya. Peristiwa ini akan berulang dan menghantui kita jika kita tidak menyediakan bekalan air bersih kepada rakyat seperti ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 7:27 PM